Azmi b. Ayub




Ahad, 17 April 2011

Paradigmatik dan Sintagmatik

Bagi pelajar yang baru mendalami kajian linguistik, mungkin agak sukar untuk memahami konsep hubungan ini dalam ilmu linguistik. Namun untuk memudahkan pengkajian linguistik selanjutnya, mereka perlu memahami konsep ini dengan jelas dan tepat. Arbak Othman dalam bukunya Permulaan Ilmu Linguistik telah memperkenalkan istilah ‘penyebaran’ untuk menerangkan tentang hubungan ini. Penyebaran yang dimaksudkan ialah penyebaran suatu unit linguistik yang berlaku dalam bahasa dan penyebaran itu pula memperlihatkan suatu hubungan dengan unit yang lain mengikut konteksnya. Hubungan unit linguistik ini berlaku secara sistematis dan terhad pula kejadiannya.

Dalam kajian bahasa terdapat dua jenis hubungan, iaitu paradigmatik dan sintagmatik. Sesuatu unit linguistik itu dikatakan boleh memasuki kedua-dua jenis hubungan itu. Dengan menyelidik kedua-duanya bagi sesuatu jenis unsur, kita akan dapat mengetahui penyebaran unsur itu, iaitu kedudukannya dalam pola sesuatu bahasa. Seterusnya, ini memungkinkan kita untuk mengetahui dan menjelaskan sistem dan struktur bahasa yang ingin dihuraikan itu.

Kedua-dua jenis hubungan ini dapat dijelaskan melalui contoh berikut: saya – kaya. Oleh sebab / s / dan / k / yang merupakan unit linguistik berada pada konteks ( di tempat) yang sama dalam suatu struktur, maka unit linguistik ini dikatakan berada pada hubungan paradigmatik. Dengan kata lain, kedua-dua unsur ini ‘sefungsi’ kerana berada di tempat yang sama dalam struktur bahasa. Manakala unsur / s / dalam kata saya berada pada hubungan sintagmatik dengan / a /, / y / dam / a /.

Hubungan paradigmatik dan sintagmatik bukan sahaja dapat diperlihatkan pada peringkat perkataan, malah pada semua peringkat penghuraian linguistik misalnya, rangkai kata sebuah buku. Kata buku berada pada hubungan sintagmatik dengan kata sebuah. Jika dibandingkan dengan rangkai kata sebuah kereta, dan sebuah rumah pula, kata buku tadi berada pada hubungan paradigmatik dengan kereta dan rumah. Begitu jugalah jika kita mengkaji hubungan tersebut dalam kejadian ayat Dia makan roti dan Dia makan nasi. Dapatkah anda jelaskan hubungan paradigmatik dan sintagmatik yang berlaku? Dengan melihat hubungan tersebut tentu kita dapat menjelaskan sistem dan struktur bahasa Melayu.

Mie Lob – kelabu tentang konsep semasa belajar dahulu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan