Azmi b. Ayub




Jumaat, 15 April 2011

Ateh akan terus melangkah...

Semua orang punya keinginan dan impian untuk dicapai. Mungkin impian itu hanya suatu impian kecil atau mungkin juga impian itu seperti ingin kugapai bintang-bintang di langit. Walau apa pun, saya percaya setiap orang ingin impian hidup mereka menjadi kenyataan. Jika impian terus tinggal sebagai impian, itu hanyalah suatu angan-angan!
Impian menjadi cita-cita apabila disertai dengan iltizam. Tidak kira kecil atau besar impian itu, sepatutnya kita harus sedar bahawa tidak mungkin impian itu akan dapat dicapai tanpa usaha dari diri kita sendiri. (Hanya dalam perjudian sahaja, usaha sedikit dapat memberikan kejayaan yang besar.) Secara logiknya, sedikit usaha yang perlu untuk mencapai impian yang kecil tetapi untuk mencapai cita-cita yang tinggi, usaha dan pengorbanan yang besar amat diperlukan. Semua impian perlukan usaha. Hanya usaha gigih dan kesanggupan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit akan memastikan impian itu direalisasikan.
Namun begitu, bukan semua cita-cita dapat dicapai melalui usaha gigih sesorang itu semata-mata. Ada orang yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu impian namun akhirnya dia gagal juga. Ada orang yang sanggup berhabis wang ringgit untuk mencapai suatu impian tetapi akhirnya kecewa. Oleh sebab itu, kita harus menyedari sebenarnya terdapat banyak faktor yang akan menentukan kejayaan seseorang dalam mencapai impiannya. Atas kesedaran tentang faktor-faktor tersebut, kemungkinan kita berpeluang untuk menanganinya dengan lebih berkesan agar impian tercapai.
Sebagai insan lemah yang lalai kita sering terlupa. Kadang-kadang, walaupun kita sedar namun kita sering gagal menangani faktor-faktor tersebut lantaran kelemahan kita sebagai manusia. Kita bukan mesin atau robot yang dapat menangani semua perkara menggunakan formula 1 + 1 = 2. Kita adalah manusia unik. Walaupun kita mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah yang sama tetapi kita tidak menyelesaikan masalah itu dengan cara yang sama!
Sebagai manusia kita pasti pernah menemui kegagalan dalam mencapai sesuatu impian. Sebagai manusia yang normal, saya pasti anda akan berasa kecewa apabila menghadapi kegagalan. Namun jangan biarkan kekecewaan itu memusnahkan hidup anda. Saya banyak membaca kisah bagaimana manusia yang berjaya sebenarnya bermula dengan kegagalan yang dihadapinya. Kegagalan adalah guru terbaik untuk mencapai kejayaan.
Apa yang penting dalam menghadapi saat-saat kegagalan ialah kekuatan untuk mengekalkan minda yang positif. Lihat kegagalan dari sudut yang lain. Jangan lihat kegagalan itu sebagai kegagalan. Lihatlah, kegagalan itu sebagai peluang. Gagal sekali bukan bererti akan gagal semuanya. Mungkin kita ditakdirkan gagal mencapai impian kecil itu kerana kita telah ditentukan untuk mencapai impian yang lebih besar!
Mie Lob - perlu terus berjalan ke hadapan...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan