Azmi b. Ayub




Selasa, 30 Mac 2010

Meh Poi Mengoca..


Seremban - Seramai 103 orang guru pelatih dari IPG Kampus Raja Melewar yang turut sama ‘mengoca’ semasa Program Jejak Budaya 3 yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan di Homestay Kampung Lonek baru-baru ini sangat gembira kerana dapat merasai sendiri suatu pengalaman baru yang sukar diperoleh pada masa kini. Mengoca sebenarnya adalah sebahagian daripada cara masyarakat Melayu menangkap ikan untuk dijadikan sebagai sumber makanan pada suatu ketika dahulu. Dengan semangat kerjasama yang sememangnya menjadi amalan masyarakat pada ketika itu, penduduk kampung akan turun bersama-sama ke sawah atau sungai untuk menangkap ikan sama ada menggunakan tangan atau dengan peralatan mudah. Aktiviti mengoca yang turut disediakan dalam pakej homestay ini telah memberi peluang kepada guru-guru pelatih merasai sendiri pengalaman tersebut. Menurut penyelaras projek, Dr. Khairuddin Mohamad, guru pelatih yang terlibat dalam program ini adalah pelajar Semester 2 yang mengambil kursus Bahasa Melayu Akademik 1 yang antara lain kandungan kursusnya adalah mengkaji adat dan budaya masyarakat Melayu. Selain mengkaji berendui dan bongai sebagai teras, dalam program jejak budaya ini juga mereka diberi peluang mengikuti aktiviti mengoca kerana aktiviti tersebut membolehkan pelajar mendekati dan bermesra dengan alam supaya mereka dapat menjadi genarasi yang cinta akan alam dan seterusnya dapat membantu usaha-usaha melestarikan alam. Noor Azleen Jamil (19) yang berasal dari Johor Bahru berkata, “Sebelum mengikuti program lagi saya sudah tertanya-tanya bagaimana aktiviti menangkap ikan atau mengoca ini dilaksanakan kerana saya tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Apabila sesudah mengalaminya sendiri, barulah saya tahu dan saya percaya aktiviti ini bukan hanya sekedar menangkap ikan tetapi mempunyai falsafah mendalam disebaliknya”. Seorang lagi peserta, Muhamad Hisham Husin (19) berkata,”Walaupun saya memang berasal dari N. Sembilan, namun selama ini saya sendiri belum pernah melakukannya. Dengan adanya program ini, saya berpeluang merasai sendiri bagaimana aktiviti ini dijalankan. Secara tidak langsung, program seperti ini telah dapat meninggalkan banyak kesan-kesan positif seperti meningkatkan semangat kerjasama, mengeratkan silatulrahim, di samping memberi peluang kepada generasi muda mendekatkan diri dengan alam”.

Mie Lob – sompek jugak ghaso zaman mengoca maso mudo-mudo dulu..

Kasut Budak BM

Teringat juga nak masukkan gambar ini.. Sebelum turun 'mengoca', kasut terpaksa ditanggalkan dan dikumpulkan di suatu tempat. Kasut pelajar-pelajar BM telah disusun sebegitu rupa..siapa punya idea?
Mie Lob - pemikiran kreatif boleh menjadikan benda-benda kecil itu besar...

hepi besday


Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun.. Masa terus berlalu tanpa menunggu kita sedikit pun dan masa yang berlalu itu tidak akan dapat diganti lagi.. dan tarikh itu, kini berulang lagi entah kali yang ke berapa.. Selamat ulang tahun buat Shukri, Lynn dan Hisham.. Tahniah daripada saya.. Semoga panjang umur, murah rezeki dan akan sentiasa mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.. ingatlah, berulang tahun bererti usia semakin meningkat dan diri semakin dewasa.
Mie Lob - mengharapkan bakal guru benar-benar dapat menjadi guru cemerlang, terbilang, gemilang...

Wajah-wajah BM







Lonek Tinggal Kenangan










Sepanjang 3H2M berkampung di Lonek, pelbagai ragam dan gelagat pelajar PPISMP Semester 2 yang mengikuti Program Jejak Budaya 3 dapat disaksikan. Gembira, sedih, kecewa, teruja dan pelbagai rencah emosi terpahat di sana. Kepada pelajar Unit BM/PJ/KS yang datang berbekalkan sedikit rasa kecewa telah berjaya membuktikan sebenarnya kegagalan telah dapat menjadi guru terbaik untuk mencapai kejayaan cemerlang. Tahniah dan syabas! Diharapkan 21 permata BM bukan hanya berjaya menjadi jaguh di Kampung Lonek sahaja tetapi akan ke persada yang lebih jauh lagi mengharumkan nama institut seterusnya nama negara.
Mie Lob - rasa bangga kerana anak-anak bersemangat waja..

Isnin, 29 Mac 2010

KPKI

Baru-baru ini Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melawar baru sahaja selesai melaksanakan satu lagi Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) di bawah program MBMMBI di PKG Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Kursus Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu ini telah dihadiri seramai 25 peserta yang terdiri daripada guru-guru Bahasa Melayu bukan opsyen daerah Kuala Pilah dan telah berlangsung selama 3 hari. Tiga orang pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu yang menjadi fasilitator kursus tersebut ialah En. Azmi bin Ayub, Pn. Hjh Rafiah Daud dan Pn. Siti Normaniseh Zakaria. Melalui kursus pendedahan ini dapat memberikan gambaran dan pengetahuan asas yang menyeluruh kepada guru-guru tentang aspek tatabahasa bahasa Melayu berdasarkan modul yang telah dibuat oleh Bahagian Pendidikan Guru. Kebanyakan peserta yang menghadiri kursus ini telah menunjukkan minat yang tinggi untuk mendalami lagi aspek tatabahasa walaupun pada awalnya peserta dimaklumkan bahawa kursus yang akan mereka hadiri ialah kursus yang berkaitan dengan ICT.

Mie Lob – perlu selalu berkursus untuk meningkatkan ilmu...

Isnin, 22 Mac 2010

Perjalanan Terakhir Tokcik

Baru-baru ini, saya mendapat berita tentang kembalinya ke rahmatullah sorang lagi insan istimewa dari kampung saya, iaitu Tuan Haji Yusof bin Sahu dalam usianya lebih 80 tahun. Saya berkesempatan menziarahi dan membacakan surah Yaasin untuknya ketika bercuti di kampung dua hari sebelum beliau meninggal. Allahyarham yang juga merupakan datuk saudara saya ialah warga paling tua dan individu terakhir lapis generasinya dari jurai keturunanan kami. Oleh sebab pada sebelah pagi saya terpaksa menghadiri satu mesyuarat, saya bergegas pulang ke kampung sebaik sahaja mesyuarat selesai. Apabila sampai, jenazahnya telah pun dibawa ke surau untuk disembahyangi. Banyak anak-anak buah dan cucu-cicit yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat ‘Tokcik’ yang pergi buat selama-lamanya. Sebaik selesai sembayang, jenazah diusung ke tanah perkuburan yang letaknya 1 ½ kilometer oleh cucu-cicitnya. Kebiasaannya jenazah akan di bawa dengan menaiki van ke tanah perkuburan. Hilanglah sebutir mutiara dalam generasi kami kerana Tokcik sememangnya amat disegani dan mempunyai banyak pengetahuan serta luas pengalaman terutama tentang kisah-kisah generasi kami dan kampung kami. Saya masih ingat betapa garang dan tegasnya Tokcik yang pandai mengaji dan berzanji mengajar saya dan budak-budak lain mengaji di surau itu ketika saya masih kecil. Dalam perjalanan terakhirnya, Tokcik disembahyangi di surau tempat dia pernah menabur bakti mendidik anak-anak kampungnya walaupun bangunan surau itu bukan lagi bangunan asal. Sayu rasanya kerana dalam perjalanan terakhirnya, Tokcik masih ingin singgah di surau yang kini semakin jarang dikunjungi…

Mie Lob – terlalu banyak kisah dan kenangan di surau kerana rumah hanya di sebelah surau..Al-Fatihah buat Tokcik..

Sabtu, 20 Mac 2010

Raptor Watch Ke-11

Sejak awal bulan Mac, peminat burung berpeluang memerhatikan pelbagai jenis burung migrasi yang singgah di Hutan Lipur Tanjung Tuan dalam perjalanannya menuju Utara pada setiap tahun. Saya masih teringat peristiwa pada suatu petang, pada tahun lepas, saya berpeluang menyaksikan berpuluh-puluh ekor burung helang terbang tinggi sambil berlegar-legar dengan melungsur di udara dari halaman rumah saya yang terletak beberapa kilometer dari Tanjung Tuan. Sayang, saya tidak pula merakamkan peristiwa itu untuk saya kongsikan bersama-sama. Saya takjub melihat betapa hebatnya makhluk kecil ciptaan Yang Maha Kuasa itu. Sebenarnya reptor migrasi ini mempunyai sayap yang lebar dan ringan serta mampu terbang tinggi dan melungsur di udara dengan menggunakan bantuan aliran termal atau udara panas. Kaedah ini amat menjimatkan tenaga dan membolehkan reptor ini melakukan pernerbangan jauh berbanding jika hanya mengepakkan sayap semata-mata. Tambahan pula, kaedah ini amat bersesuaian dengan sifatnya sebagai haiwan pemburu yang perlu terbang tinggi dan senyap tanpa disedari mangsa. Pada musim migrasi, reptor ini akan berlegar-legar di kawasan transitnya seperti di Tanjung Tuan untuk menunggu sehingga udara laluan terbang, iaitu dari Pulau Rupat, Indonesia menjadi cukup panas untuk membolehkan mereka meluncur naik bersama aliran termal itu. Dengan bantuan aliran termal, haiwan pemangsa ini mampu naik beribu-ribu kaki ke udara dan kemudian terbang merentasi selat. Fenomena segerombolan besar burung terbang di udara dalam perjalanan merentas benua ini amat manakjubkan. Penghijrahan yang dilakukan dengan teratur pada setiap tahun dapat memastikan kelangsungan hidup haiwan pemangsa ini.

Mie Lob – kalau diberi peluang, ingin melihat peristiwa tahun lepas sekali lagi…

Jumaat, 19 Mac 2010

Sang Helang

Sang Helang terbang megah berlegar-legar di udara. Sambil melayah-layah, bebola matanya tajam memerhatikan setiap sudut muka bumi. Begitulah kehebatan burung penguasa langit itu. Kalau anda berkesempatan ke Tanjung Tuan, Port Dickson anda akan dapat menyaksikan bagaimana hebatnya Sang Helang ini. Raptor Watch Ke-11 yang bermula mulai 13 Mac lalu merupakan satu lagi produk pelancongan di daerah Port Dickson. Pengunjung yang bernasib baik akan berpeluang memerhatikan burung penghijrah ini melakukan perjalanan merentas benua kerana Tanjung Tuanlah menjadi tempat persinggahannya dalam perjalanan menuju utara. Saya teringat cerita tentang helang yang saya dengar semasa berada di lapangan terbang Jakarta pada tahun lepas. Sang Helang, burung penguasa di langit ini khabarnya hanya tinggal dan membuat sarangnya di atas pohon-pohon yang tinggi. Helang digeruni bukan sahaja oleh burung-burung lain malahan oleh binatang lain yang melata di bumi. Sang Helang sangat ditakuti. Apabila tiba musim membiak, seekor helang betina bertelur di dalam sarangnya yang terletak di puncak pohon tinggi. Tempat yang tinggi adalah tempat yang terbaik untuk telurnya itu dieram dan ditetas bagi meneruskan zuriat sebagai burung penguasa langit. Pada suatu malam, kawasan tersebut dilanda ribut kencang. Pohon tinggi tempat tinggal helang itu juga turut dibadai ribut. Oleh sebab kuatnya ribut, sarang dan telurnya jatuh terpelanting bersama dahan yang sekah. Kesemua telur helang pecah kecuali sebiji yang jatuh tergolek berhampiran dengan rumah seorang petani. Keesokkannya, petani yang kehairanan melihat telur itu mengambil telur tersebut lalu meletakkannya semula ke dalam sarang tempat ibu ayam mengeram. Setelah sampai waktunya, telur-telur itu pun menetas. Anak-anak ayampun di bawa ibunya ke tanah lalu diajarlah mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Anak helang pun ikutlah mengais-ngais, walaupun dia tidak secekap anak-anak ayam yang lain. Semakin hari, anak helang semakain hairan kerana melihat dirinya yang kelihatan berbeza daripada saudara-saudaranya yang lain. Bentuk dan bulu pepelpahnya yang mula tumbuh juga berbeza menyebabkan ‘saudara’nya yang lain kehairanan. Tetapi itu semua tidak menghalang anak helang meneruskan kehidupan bersama ‘ibu’ dan ‘saudara-saudara’nya, mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Suatu hari ketika sedang leka mengais, ibu ayam berteriak nyaring, “Helang! Helang!” Sepantas itu juga anak-anak ayam bertempiaran lari bersama ibunya menyembunyikan diri. Dari tempat persembunyian itulah, anak helang melihat seekor burung hebat terbang megah tinggi di udara. Ini membuatkan anak helang itu teringin terbang seperti burung. “Ahh, tak mungkin aku dapat terbang seperti burung..aku hanyalah seekor ayam”, pujuk anak helang pada diri sendiri. Rupa-rupanya, 'anak ayam' ganjil itu sentiasa menjadi perhatian seekor helang yang mendiami kawasan tersebut. Sang Helang kehairanan kerana burung keturunannya hidup seperti seekor ayam? Bukankah keturunannya telah dilahirkan untuk menjadi pengauasa di langit? Suatu hari, Sang Helang mengambil kesempatan bertemu dengan anak helang yang bersendirian itu. Anak helang sangat ketakutan. “Mahukah awak terbang seperti saya? Mahukah jika saya ajarkan awak terbang?” Oleh sebab ketakutan, anak helang menolak permintaan Sang Helang. Seekor ayam tidak mungkin mampu terbang tinggi, walaupun di dalam hatinya dia sangat teringin terbang seperti helang. Setelah dipelawa bersungguh-sungguh, akhirnya anak helang itu pun mencuba terbang seperti yang diajarkan oleh Sang Helang. Baru beberapa kali mengepakan sayap, anak helang pun mengalah. “Ahh, tak mungkin! Saya hanyalah seekor ayam”. Bisik anak helang memujuk diri walaupun dia sedar dirinya berbeza daripada saudara-saudaranya yang lain. Akhirnya anak helang pun kembali ke reban bersama ibunya dan saudara-saudaranya. Kembali mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Namun, Sang Helang tidak pernah berputus asa kerana Sang Helang tahu, anak ayam itu sebenarnya seekor anak helang. Besoknya dia bertemu semula anak helang. Setelah dipujuk, akhirnya anak helang bersetuju untuk kembali belajar. Kali ini, anak helang itu terbang semakin jauh.. Begitulah hari berikutnya. Akhirnya anak helang dapat terbang dengan baik bagai seekor helang layaknya.. Anak helang sangat gembira. Bertambah yakinlah anak helang bahawa dirinya ialah seekor helang bukannya ayam. Mulai hari itu, hiduplah anak helang menjadi penguasa di langit kerana dia memang dilahirkan sebagai Sang Helang! Sebagaimana Sang Helang, begitulah juga manusia, yang sememangnya telah ditentukan Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini!

Mie Lob – teruja nak ke Tanjung Tuan untuk melihat sang helang…

Selasa, 16 Mac 2010

Memartabatkan Bahasa

MBMMBI yang diumumkan oleh kerajaan seolah-olah dilihat satu dasar bagi menggantikan PPSMI yang akan berakhir pada tahun 2012 kerana dasar tersebut mendapat kritikan banyak pihak. Sebaik diumumkan oleh kerajaan, dasar tersebut mula dicanangkan melalui pelbagai saluran media agar rakyat mendapat penjelasan seterusnya dapat melaksanakannya demi memartabatkan bahasa. Secara umumnya, kebanyakan rakyat Malaysia telah pun mengetahui tentang dasar tersebut walaupun tidak memahaminya secara mendalam. Manakala kepada agensi kerajaan yang terlibat secara langsung, sudah tentulah lebih arif tentang dasar tersebut dan bagaimana cara pelaksanaannya. Walaupun sekali imbas kelihatan dasar baharu ini seolah-olah menjadi pengganti dasar sedia ada kerana kedua-duanya berkaitan bahasa, namun impaknya ke atas pihak yang terlibat amat jelas berbeza. Bagi PPSMI, Kementerian Pelajaran dan pelbagai peringkat agensi di bawahnyalah yang terlibat secara langsung manakala pihak-pihak lain tidak memainkan peranan yang tidak begitu jelas, tetapi bagi dasar MBM bukan hanya Kementerian Pelajaran sahaja yang terlibat malah semua kementerian, agensi, pihak swasta dan seluruh warganegara sepatutnya turut menjadi pemain aktif dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu kerana kedudukan bahasa tersebut di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Sebenarnya bahasa Melayu telah mempunyai sejarahnya yang gemilang apabila menjadi lingua franca suatu ketika dahulu. Pedagang, mubaligh, penjajah atau sesiapa sahaja yang ingin berurusan ketika itu terpaksa mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan hanya dikenali dalam lingkungan alam nusantara malah bahasa tersebut mula tersebar ke seluruh dunia. Jika ingin dibandingkan, sudah tentulah usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka seperti Malaysia pada masa kini tidak sesukar untuk mengangkat semula bahasa Melayu menjadi lingua franca. Dalam hal ini, apa yang sangat diperlukan oleh bahasa ialah pengiktirafan ikhlas daripada seluruh warganegara dan kemudian menterjemahkan pengiktirafan tersebut dalam realiti kehidupan. Dalam usaha tersebut, semua pihak perlu mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin. Namun, budaya hidup yang telah banyak berubah sedikit banyak turut merubah sifat-sifat bahasa itu. Sifat baik dan nilai mulia yang seiring dengan keindahan berbahasa semakin ditinggalkan dalam arus kemajuan dunia yang semakin mencabar ini. Saya percaya, apabila masyarakat masih kuat berpegang pada nilai-nilai baik, sudah tentu penggunanan bahasa juga akan tersusun dengan indah, jika tidak semua itu hanya akan dapat dilihat dalam manuskrip atau karya-karya tulisan sahaja.

Mie Lob – kesan bahasa yang telah ditinggalkan sekali sekala akhirnya semakin tertinggal jauh di belakang…

Isnin, 15 Mac 2010

Variasi Perkataan

Saya pernah ditanya, manakah yang betul sama ada maksima atau maksimum, analisa atau analisis, dan beberapa perkataan lain yang mempunyai beberapa variasi dari segi ejaan dan sebutannya. Hal ini sering berlaku terhadap kata pinjaman kerana perkataan tersebut sering disebut dan dieja dengan pelbagai bentuk walaupun masih merujuk kepada maksud yang sama. Apabila berhadapan dengan masalah seperti ini, penyelesaian yang terbaik ialah kita perlu merujuk kepada Kamus Dewan atau DBP sendiri. Memang tidak dapat dinafikan, dalam isu variasi perkataan ini, pengguna akan mudah terkeliru kerana penggunaan perkataan tersebut dalam media cetak nampaknya tidak konsisten dan pelbagai. Penggunaan istilah oleh penulis sering dibuat mengikut pemahaman dan konsep sendiri tanpa merujuk kepada daftar istilah dan akhirnya akan mengelirukan pembaca. Oleh itu, dalam isu ini, variasi kata dan ejaan hanya akan dapat dimantapkan dan dibakukan sekiranya pengguna bahasa Melayu prihatin dan merujuk kepada daftar ejaan yang dikeluarkan oleh DBP. Sikap ambil mudah akan menjadi penghalang kepada usaha pembakuan bahasa dan akhirnya hasrat memertabatkan bahasa Melayu juga menjadi sukar.

Mie Lob – yang mana betul? cincang/cencang, zuhur/zohor, kerinting/keriting…

Jumaat, 12 Mac 2010

Za'ba Lentera Cendekia

Kerana Za'ba ialah Za'ba
Anugerah kurniaan Yang Maha Esa
Roh dan cahaya ribuan bintang mutiara
Rela setia menggemilangkan bangsa
Marilah kita kembali menyususn strategi
Bersepadu mencerna hala yang direntas
Bangsa kita tidak lagi tertindas
Sedutan sajak karya:
Mahaya Mohd Yasin (PEN)

Pengisahan Za'ba

Semangat juangnya kental..pemikirannya tajam..pandangannya jauh ke hadapan.. Itulah antara lontaran kata-kata paling tepat untuk menjelaskan ciri insan istimewa itu, Allahyarham Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad atau Pendeta Za’ba. Ungkapan oleh Kol. Prof. Dato’ Dr. Kamaruddin Hj. Kachar itu masih terngiang-ngiang di telinga apabila beliau dengan penuh semangat menyampaikan Ceramah Pengisahan Za’ba dalam Program Titipan Za’ba 2010, di Teratak Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir. Za’ba seorang insan yang istimewa! Begitu juga pelajar Unit PPISMP (BM/PJ/KS) Semester 2 turut menjadi insan istimewa kerana terpilih dan berpeluang untuk menghadiri majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar N. Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Muhammad bin Haji Hassan. Semasa majlis perasmian, terdapat banyak aktiviti lain yang berlangsung di perkarangan Teratak Za’ba antaranya Menelusuri Jejak Za’ba, Demonstrasi Permainan Tradisional, Pertandingan-pertandingan, Deklamasi Puisi dan Pemeran. Nampaknya pelajar-pelajar Unit BM ini tidak melepaskan peluang melawat ke setiap tapak aktiviti dan tempat yang menjadi tumpuan mereka ialah Demonstrasi Permaianan Tradisional. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba pelbagai permaianan trdisional yang disediakan. Nak tunjuk skil la tu... Maklumlah, sebahagian permainan tradisional itu memang dipelajari dalam Kursus BM Akademik 1. Walaupun waktu balik agak lewat, namun semua pelajar berasa seronok dengan suasana dan pengalaman baru itu.

Mie Lob – leka main permainan tradisional, terlupa mengambil iktibar daripada kisah Za’ba…

Selasa, 9 Mac 2010

kata pemeri dan unsur lewah

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan dengan melalui dua cara, iaitu secara persamaan (ekuatif) dengan menggunakan kata ialah di hadapan frasa nama; atau secara huraian (kualitatif) dengan menggunakan kata adalah di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Semasa saya mengelolakan satu kursus tatabahasa untuk guru-guru bahasa Melayu, saya ditanya beberapa soalan yang berkaitan dengan ayat Kehadiran Pak Kasim adalah untuk menerima hadiah(i) kerana semasa latihan memilih ayat betul atau salah, ayat tersebut ditandakan sebagai betul. Sebelum ayat ini dibincangkan, ada beberapa ayat lain yang kesalahannya adalah disebabkan unsur lewah menyebabkan peserta kursus juga berkecenderungan mengatakan ayat itu salah kerana kata adalah merupakan unsur lewah. Menurut mereka, ayat Kehadiran Pak Kasim untuk menerima hadiah(ii) masih jelas dan tidak berbeza maknanya. Sekali imbas, nampaknya memang ada kebenarannya. Namun, kita perlu melihat semula kepada fungsi kata pemeri, iaitu untuk menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dan predikat. Oleh itu, ayat Kehadiran Pak Kasim untuk menerima hadiah jika tidak diucapkan dengan intonasi yang sesuai, ayat tersebut mungkin akan menjadi ayat tergantung kerana kata untuk tidak lagi berfungsi sebagai kata sendi sebaliknya akan berfungsi sebagai kata hubung pancangan komplemen. Kata hubung untuk digunakan untuk menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama. Bagaimana pula dengan ayat Budak itu sepupu saya dan Hadiah ini untuk Ali.? Tidakkah kedua-dua ayat ini masih boleh diterima sebagai gramatis kerana menggunakan pola ayat dasar, iaitu masing-masing FN + FN dan FN + FS tanpa perlu dirangkaikan dengan kata pemeri? Ucapkan sahaja dengan intonasi yang sesuai. Namun harus diingat bahawa dalam Tatabahasa Dewan turut dijelaskan bahawa penggunaan kata pemeri ini amat terbatas dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat-ayat bahasa Melayu. Selain itu terdapat kekecualian , iaitu kata pemeri adalah boleh hadir di hadapan kata nafi tidak dan frasa adjektif.

Mie Lob – lama termenung…

Ahad, 7 Mac 2010

ialah dan adalah

“Buku itu adalah kepunyaan Abu” ialah antara ayat yang terdapat dalam buku latihan Bahasa Melayu UPSR yang digunakan oleh anak saya sebagai buku ulangkaji. Dalam satu latihan, terdapat dua soalan yang menggunakan ayat yang hampir sama dengan ayat di atas. Pelajar diminta memilih ayat yang betul dalam soalan tersebut seperti berikut:

Arahan: Pilih ayat yang menggunakan kata pemeri bergaris yang betul.

5. A. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ialah Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

B. Si Comel adalah binatang peliharaan kesayangan saya.

C. Pokok rambutan itu adalah kepunyaan Pakcik Imran.

6. A. Majalah Saji itu ialah kepunyaan kakak saudara saya.

B. Rohana adalah sepupu kepada Puan Amira.

C. Kamal adalah mahasiswa tahun dua di Universiti Malaya.

Nampaknya, kedua-dua soalan yang dikemukakan dalam latihan ini akan menyebabkan pelajar bertambah keliru tentang topik kata pemeri. Berdasarkan Koleksi Pedoman Bahasa Bil. 1 DBP, kata ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah yang menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Oleh sebab itu, bagi soalan 5 pilihan yang ada ialah ayat 5(a) - betul, ayat 5(b) - salah dan ayat 5(c) - tidak pasti. Adakah frasa kepunyaan Pakcik Imran termasuk dalam frasa nama, berdasarkan imbuhan ke…an yang digunakan atau frasa ini ialah frasa kerja kerana imbuhan ke…an membentuk kata kerja pasif? Jika frasa tersebut ialah frasa nama, sudah tentu ayat 5(c) salah dan jika frasa kerja pula, ayat 5(c) itu juga salah kerana ayat tersebut akan menjadi “Pokok rambutan itu kepunyaan Pakcik Imran”. Katalah bagi soalan tersebut, pelajar membuat pilihan 5(a) sebagai jawapan betul maka sudah tentu ayat 5(c) - salah. Seterusnya bagi soalan 6, pelajar akan keliru apabila mereka cenderung menganggap frasa kepunyaan kakak saudara saya sebagai frasa nama dan ayat itu betul kerana ayat 6(b) dan 6(c) sudah tentu salah. Sebenarnya, bagi soalan 6 tiada satu ayat pun yang betul. Wallahualam.. Akhirnya, saya membuat kesimpulan bahawa soalan yang disediakan dalam buku kerja ini kurang berkualiti apa lagi setelah melihat nama penerbitnya. Oleh itu, ibu bapa harus berhati-hati memilih buku latihan yang sesuai untuk anak-anak supaya latihan yang dibuat tidak akan menambahkan kekeliruan.

Mie Lob – terlalu banyak buku-buku latihan di pasaran, menyebabkan pilihan sukar dibuat..

Pendakian Gunung Tampin


Sirkit Mendaki Gunung Tampin telah berlalu. Bagi saya, penyertaan kali pertama dalam pertandingan seperti ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Walaupun sebelum ini pernah menjalankan aktiviti mendaki tetapi semua aktiviti tersebut lebih berbentuk riadah dan rekreasi biasa. Masa bukannya hambatan. Sejak awal lagi saya telah menetapkan minda, iaitu walaupun ini suatu pertandingan, namun itu bukanlah matlamat sebenar penyertaan saya. Saya mempunyai beberapa tujuan lain ketika membuat keputusan untuk menyertai sirkit ini. Tambahan pula, saya anak kelahiran daerah ini tetapi saya belum pernah menjejaki puncak gunung Tampin walaupun telah banyak kali mendaki Gunung Datuk dan Gunung Angsi. Setelah semuanya sedia, pertandingan dimulakan dengan pelepasan peserta lelaki terbuka. Oleh sebab ini kali pertama saya menyertai pertandingan mendaki, jangkaan awal saya meleset kerana peserta dikehendaki berlari hampir 3 kilometer sebelum mendaki. Walaupun saya dapat bertahan dengan larian tersebut, namun sebaik sampai di kaki gunung, kaki mulai berasa sakit. Sepanjang perjalanan mendaki di laluan bertar, lutut juga berasa sakit mungkin kerana impak larian peringkat awal. Saya teruskan juga pendakian walaupun kesakitan kerana inilah kali pertama saya mengalami keadaan demikian. Selepas laluan bertar, para peserta terpaksa mengikuti laluan hutan sehingga ke puncak Gunung Tampin. Saya tetap meneruskan pendakian walaupun kawan-kakan lain mula mengalah. Setelah berhempas pulas, akhirnya saya sampai juga ke check-point 5, iaitu puncak Gunung Tampin pada kedudukan tempat ke-74 daripada seratus lebih peserta bagi kategori Lelaki Terbuka. Satu kepuasan! Setelah berehat beberapa minit, saya menyembur lutut dan kaki saya dengan ubat penahan sakit sebelum memulakan perjalanan turun. Ketika turun, banyak peserta lain masih meneruskan perjalanan mendaki. Kesan ubat penahan sakit itu hanya bertahan beberapa ketika dan sepanjang perjalanan sehingga sampai ke laluan bertar saya terpaksa menahan kesakitan dan bergerak perlahan. Sebaik sampai ke check-point 4, sekali lagi saya menggunakan penyembur penahan sakit sebelum meneruskan perjalanan. Banyak peserta yang sudah tidak larat meneruskan pertandingan menggunakan kenderaan untuk turun ke bawah. Saya tetap meneruskan perjalanan kerana bagi saya, ini rekod sendiri. Akhirnya, hampir jam 1.45 petang barulah saya sampai ke garisan penamat setelah melakukan perjalanan selama hampir 4 jam 45 minit! Saya dimaklumkan oleh urusetia bahawa laluan Gunung Tampin adalah yang terpanjang berbanding dengan laluan Gunung Datuk dan Gunung Angsi! Perjalanannya sejauh 26 kilometer! Walau bagaimanapun, ada kepuasan yang dapat saya rasakan.
Mie Lob - rasa masih ingin terus mendaki walaupun hanya bukit..hehe..

Cabaran Gunung Tampin

Tampin – Sirkit Cabaran Mendaki Gunung Tampin 2010, pada 6 Mac 2010 berlangsung meriah dengan penyertaan 754 orang peserta termasuk 39 orang pelajar dari IPG Kampus Raja Melewar, Seremban. Pertandingan ini dijalankan dalam beberapa kategori termasuk kategori antarabangsa yang turut disertai oleh peserta dari Kenya, Nigeria, Holland, India dan England. Program yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Belia Negeri Sembilan telah dapat menarik minat sebilangan peserta dari luar Negeri Sembilan. Bagi peserta yang mewakili IPG Kampus Raja Melewar, kebanyakannya bukan berasal dari N. Sembilan sebaliknya pelajar yang datang dari seloroh pelosok tanah air. Secara tidak langsung, peserta ini bakal menjadi duta pelancongan Negeri Sembilan apabila mereka kembali ke negeri masing-masing atau apabila mereka bertugas kelak. Pelajar yang menyertai cabaran kali ini ialah dari Unit PPISMP (BM/PJ/KS) dan (PJ/BM/BI) Semester 2. Mereka turut disertai oleh dua orang pensyarah, iaitu Encik Azmi bin Ayub dari Jabatan Pengajian Melayu dan Encik Jalil bin Osman dari Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Menurut Encik Azmi, beliau amat menggalakkan pelajarnya menyertai program-program seperti ini supaya mereka yang datang dari luar Negeri Sembilan ini akan dapat mengenali keunikan negeri yang mengamalkan adat perpatih ini lebih cepat. “Inilah kali pertama saya turut serta dalam pertandingan mendaki gunung. Satu pengalaman yang sangat menarik dan menyeronokkan walaupun saya tidak dapat meraih sebarang hadiah. Sudah tentu saya akan ikut serta dalam sirkit seterusnya, iaitu cabaran mendaki Gunung Datuk pada bulan April nanti. NS, best..”, kata Ahmad Yusuf bin Alias (19 tahun) yang berasal dari Pontian, Johor. Sebagai wakil tunggal institut yang meraih hadiah, iaitu tempat Ke-7 bagi Kategori Wanita Terbuka, saudari Humaira binti Amer (20 tahun) yang berasal dari Pahang pula sangat teruja untuk meneruskan penyertaan dalam sirkit seterusnya. “Suatu pertandingan yang menyeronokkan kerana di samping bertanding kita dihidangkan pemandangan yang menarik dengan udara yang segar apabila berada di puncak gunung walaupun keletihan”, kata pelajar PPISMP (PJ/BM/BI) ini sambil tersenyum. Semua pelajar IPG Kampus Raja Melewar yang telah menyertai pertandingan kali ini nampaknya menunjukkan semangat yang tinggi untuk menyertai cabaran seterusnya, iaitu Gunung Datuk dan Gunung Angsi bagi memastikan semua gunung di Negeri Sembilan dapat ditawan.
Mie Lob - cabaran Gunung Tampin yang betul-betul mencabar...

Sabtu, 6 Mac 2010

Gunung Tampin

6 Mac 2010, saya dan semua pelajar Unit PPISMP (BM/PJ/KS) Semester 2 (kecuali Asraf yang mendapat kemalangan) akan memulakan Sirkit Mendaki Gunung N. Sembilan 2010 dengan pendakian gunung pertama, iaitu Gunung Tampin. Selain pelajar unit ini, aktiviti turut disertai oleh beberapa orang pelajar unit lain serta seorang lagi pensyarah, iaitu En. Jalil dari Jabatan PJK. Keseluruhan pelajar IPG Kampus Raja Melewar yang akan turut serta dalam pendakian kali ini ialah seramai 36 orang. Selepas ini, sirkit akan diteruskan dengan Gunung Datuk pada bulan April dan Gunung Angsi pada bulan Mei. Gunung Tampin, dengan ketinggian 764 meter (2,507 kaki) daripada paras laut terletak kira-kira 15 minit dari pekan Tampin. Hutan Dipterokarp Bukit yang terbentuk di kawasan gunung ini kaya dengan pelbagai jenis pokok hutan dan palma. Hutan ini diperindah dengan bongkahan batu yang membentuk satu landskap semula jadi yang menarik. Suasana perjalanan ke puncak menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan kerana terdapat panorama indah di puncaknya. Semoga pelajar yang mengikuti pendakian kali ini akan dapat menamatkan pertandingan sehingga ke puncak di samping dapat pula menikmati suasana indah hutan lipur Gunung Tampin. Kepada semua, semoga berjaya....

Mie Lob – seronok tengok pelajar teruja dan berharap mereka dapat mengenali NS dengan lebih dekat..

Jumaat, 5 Mac 2010

untuk dan bagi..

Semasa memastikan penggunaan kata sendi untuk dan bagi dalam sesuatu ayat, saya juga sering keliru apabila diminta membuat kepastian yang mana satukah yang tepat. Untuk atau bagi? Atau, bolehkah kedua-duanya bertukar ganti? Misalnya, ayat “Bilik rehat untuk pensyarah sedang diubah suai” atau “Bilik rehat bagi pensyarah sedang diubah suai” atau kedua-duanya betul. Apakah panduan paling tepat dan mudah yang dapat digunakan agar penggunaan kedua-duanya tepat?

i. untuk – maksud bahagian diperuntukkan

ii. untuk / bagi – menunjukkan kegunaan sesuatu

Sebagai contoh, perhatikan ayat Cincin ini untuk/bagi Afrina (i) dan Komputer untuk/bagi kegunaan pensyarah sahaja (ii). Dalam ayat (i), hanya kata untuk sahaja yang boleh digunakan manakala dalam ayat (ii) kata untuk dan bagi boleh bertukar ganti. Selain itu, kata untuk juga digunakan sebagai kata hubung pancangan komplemen untuk menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama dalam ayat majmuk.

Mie Lob – selalu ingat-ingat lupa.. heheh..

Khamis, 4 Mac 2010

Siti mendapat banyak duit.

Dalam kalangan rakan sejawat, kami berbincang tentang satu ayat yang berbunyi “ Siti mendapat banyak duit”(i) apabila salah seorang rakan melontarkan pertanyaan tentang betul salah ayat yang dibacanya dalam buku tatabahasa anaknya itu. Mengapakah kata banyak dalam ayat tersebut digarisi? Adakah penggunaannya dalam ayat tersebut tidak tepat? Atau, mungkinkah terdapat kesalahan-kesalahan yang lain? Bolehkah ayat tersebut ditulis dengan cara lain misalnya, “Siti banyak mendapat duit”(ii)?. Masing-masing mengemukakan pendapat. Yang pasti, dalam kedua-dua ayat tersebut, tidak terdapat kesalahan pada subjeknya, iaitu Siti. Jika adapun kesalahan, mungkin pada bahagian predikatnya, iaitu predikat ayat (i) mendapat banyak duit atau predikat ayat (ii) banyak mendapat duit. Bagi predikat ayat (i), nampaknya Frasa Kerja (FK) mengisi gatra predikat kerana kata mendapat ialah kata kerja tak transitif berpelengkap yang menjadi inti frasa tersebut manakala banyak duit sebagai pelengkapnya yang terdiri daripada kata bilangan dan kata nama. Jika begitu, ayat (i) adalah gramatis. Melalui konstituen terdekat, bagi frasa banyak mendapat duit dalam ayat (ii), hubungan kata mendapat duit lebih hampir berbanding banyak mendapat. Dalam konstituen tersebut juga, intinya ialah duit dan jika kata mendapat digugurkan, ayat tersebut berbunyi Siti banyak duit. (iii). Dari segi makna, bolehkah kata banyak membawa maksud mempunyai atau ada? Adakah ayat Siti ada duit (iv) boleh dianggap mempunyai pola ayat dasar Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK). Jika boleh, kesimpulannya ayat (ii) juga boleh diterima sebagai gramatis jika mendapat duit boleh dianggap sebagai frasa kerja yang mengambil peranan sebagai frasa nama dalam ayat tersebut. Bagaimana pula ayat, Siti banyak menulis cerpen remaja.? Wallahualam…

Mie Lob – buah cempedak di luar pagar.. sengaja menjolok minda menyebabkan Siti semakin pening…

Selasa, 2 Mac 2010

KPKI Ke-1. Betul ke?..

Kursus Pemantapan Tatabahasa untuk Guru-guru Bukan Opsyen berlangsung selama 3 hari mulai 2 hingga 4 Mac 2010 di Pusat Kegiatan Guru Tanjung Ipoh, Kuala Pilah telah dihadiri oleh 25 orang guru sekolah rendah Daerah Kuala Pilah. Kursus yang dijalankan melalui peruntukan MBMMBI bertujuan memberi pendedahan aspek tatabahasa kepada guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu khususnya kepada yang bukan opsyen. Dengan pendedahan tersebut, diharap guru-guru ini akan dapat meningkatkan penguasaan aspek tatabahasa , meningkatkan keyakinan diri, di samping dapat membantu mereka melaksanakan tugas secara lebih efektif. Tiga orang fasilitator dari Jabatan Pengajian Melayu yang terlibat dalam kursus tersebut ialah Pn. Hjh. Rafiah bte Daud, En. Azmi bin Ayub dan Pn. Siti Normaniseh bte Zakaria. Walaupun masa yang diperuntukkan agak singkat dan jadual kursus terlalu padat, namun ketiga-tiga fasilitator ini berusaha mempermudah cara penyampaian agar para peserta dapat memahami asas tatabahasa bahasa Melayu dengan baik. Kursus tatabahasa kali ini merangkumi aspek morfologi dan sintaksis berasaskan modul yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Guru.

Mie Lob – berkongsi menjadikan yang sedikit itu banyak kerana rupanya semakin banyak yang kita tahu, semakin banyak yang kita tak tahu…heheh..

Isnin, 1 Mac 2010

Asraf Terlantar...




Pada kesempatan waktu rehat tengah hari Isnin lalu, 20 orang pelajar Unit PPISMP (BM/KS) Semester 2 membuat ziarah kasih untuk salah seorang rakan sekelas mereka yang terlantar di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban kerana kemalangan dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan yang berlangsung di padang institut pada hari Ahad sebelumnya. Rombongan yang sampai lebih kurang jam 1.30 di Wad 4B itu membuatkan Asraf atau lebih dikenali sebagai ‘Acap’ dalam kalangan rakan-rakannya tersenyum gembira walaupun sedang terlantar. Asraf mengalami kecederaan patah kaki kanan dijangka tidak akan dapat menghadiri kuliah dalam jangka waktu yang lama. Namun, kunjungan rakan-rakan sekelas pada hari itu membakar semangatnya untuk meneruskan dan menyiapkan tugas-tugas yang tergendala disebabkan kemalangan tersebut. Ibu bapanya yang turut berada di hospital pada waktu itu juga menyatakan rasa gembira atas keprihatinan rakan-rakan anaknya. Beliau tidak putus-putus menyatakan rasa terima kasih kepada pihak institut yang mengambil berat atas kemalangan yang menimpa anaknya. Beliau juga menyatakan rasa kagum akan semangat setia kawan rakan-rakan anaknya yang bukan sahaja datang berziarah dan memberi dorongan malah turut memberi sumbangan sedikit sebanyak. Pada akhir lawatan, semua rakan mendoakan agar Asraf cepat sembuh dan dapat menyambung semula kuliah yang tergendala.
Mie Lob – tahniah kepada penghulu dan anak buahnya kerana sikap yang memang patut ada dalam diri insan guru terus subur..