Azmi b. Ayub




Selasa, 2 November 2010

Buatlah macam tu, yah...

Semuanya teruja. Mama dan anak-anak..semuanya menanti bilakah impian itu dapat direalisasikan menjadi kenyataan. Saatnya terasa sudah kian hampir. Anak-anak semakin tidak sabar menanti saat terjelmanya impian itu. Selama ini, anak-anak hanya berkesempatan bermain di ruangnya apabila berkunjung ke rumah nenek Makcu. Apabila ke sana, pasti anak-anak minta dibawa mendekati‘nya’ untuk melihat riaknya serta melihat ‘dia’ bermain-main riang. Mungkin itu menjadi sebahagian daripada sebab mengapa aku juga memasang impian itu. Selain itu, seringkali semasa melalui laluan keluar dari taman kami untuk kemana-mana, pasti kami akan melihat'nya'. Apa lagi, bertambah galaklah sikecil menyebut-nyebut‘nya’. Bukan aku tidak mahu menyediakannya tetapi keperluan lain lebih penting. Aku hanya dapat membina harapan untuk menjelmakan impian mereka. Tetapi, akhirnya aku akur juga. Sementara mereka masih bersama, sementara mereka membina citra untuk menjadi dewasa di sini, inilah saat terbaik untuk memenuhi impian mereka. Hasil persetujuan bersama mama, impian mereka yang juga sememangnya turut menjadi impianku akan direalisasikan. Aku akan usahakan. Biarlah itu akan menjadi sebahagian daripada sekian peristiwa yang akan menjadi titik nostalgia apabila mereka dewasa nanti. Biarlah ia menjadi pengikat hubungan kami. Kini, saatnya semakin hampir.....
Mie Lob - nanti kita bersama-sama berada di sana dan menikmati keindahannya...

Jumaat, 29 Oktober 2010

Ujian Menghadapi Peperiksaan

Jumaat 29 Okt. Jam 5.00 ptg. Dia masih belum keluar dari wad. Keadaan dirinya masih lemah setelah menjalani suatu pembedahan kecil beberapa hari lalu. Namun masa tetap berlalu. Peperiksaan akhir semester kian hampir. Fikirannya semakin berserabut dan tertekan. Usahkan untuk mengulangkaji, untuk menguruskan diri sendiri pun terasa tidak berdaya. Kertas peperiksaan pertama akan berlangsung pada hari Selasa minggu hadapan. Tinggal tiga hari sahaja lagi. Nampaknya, dia terpaksa menghadapi suatu ujian berat sebelum menghabiskan semester ini. Dia berhadapan ujian sebelum peperiksaan! Dalam keadaan ini, dia perlu banyak berehat daripada terlalu memikirkan tentang peperiksaan tersebut. Tekanan akan membuatkan keadaan kesihatannya bertambah buruk. Terimalah apa juga yang mendatang dengan reda dan sabar. Ketenangan dalam diri akan menjadi kekuatan bagi menghadapi sesuatu itu dengan lebih baik. Percayalah, ada hikmah di sebaliknya yang mungkin sukar untuk dimengerti. Apa pun, semua mendoakan yang terbaik untuknya. Allah permudahkanlah segala urusannya. Amin.
Mie Lob - manusia cuma insan lemah yang sentiasa berharap kepada-Nya untuk menghadapi
ujian dan peperiksaan tersebut....

Khamis, 28 Oktober 2010

BM3 dan BM1 Berpadu






Anak-anak dari kedua-dua keluarga BM mengadakan jamuan sempena meraikan kejayaan melaksanakan tugas menganjurkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 Peringkat IPG Kampus Raja Melewar. Tahniah buat semua! Melihat kemesraan dan kesungguhan mereka sementara mereka masih berada di sini, di depan mata ini, hati jadi bangga. Kerana pada mereka telah kami sandarkan harapan untuk melihat generasi cemerlang pada masa hadapan. Pada mereka, kami gantungkan harapan agar menjadi pendidik terbilang. Pada mereka juga kami, letakkan amanah untuk mengangkat martabat bahasa. Pada kesempatan ketika masih di sini, timbalah seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman sebagai bekalan. Teruslah melangkah maju walaupun terpaksa bermula dengan merangkak perlahan. Tanamkan keikhlasan dalam setiap apa yang anda lakukan. Jadilah anak-anak terbaik buat ‘abah’ dan ‘mak’ JPM!….

Mei Lob – Apa yang penting? Kerjasama…. (2x)

Khamis, 21 Oktober 2010

Akhirnya Ramadhan dan Syawal pun berlalu...




Masa terus berlalu tanpa menunggu apa-apa atau siapa-siapa. Terasa sekejap sahaja, semuanya kini tinggal kenangan dan ingatan yang terpahat dalam memori. Mungkinkah dapat bertemu lagi dengan Ramadhan dan Syawal seterusnya?

Apakah harapan yang telah disandarkan untuk menjadikan Ramadhan dan Syawal itu yang terbaik telah dapat kita realisasikan? Sebagai manusia biasa, kita hanya dapat merancang dan berusaha melaksanakannya sedaya mungkin. Tetapi perencanaan Allah s.w.t-lah yang lebih pasti. Mungkin hanya kita yang merasakan apa yang telah kita lalui dan kita lakukan itu yang terbaik. Apapun, kita hanya insan yang lemah. Segala-galanya kita berserah kepada Yang Maha Kuasa, Allah yang Maha Kaya.

Ramadhan dan Syawal kali ini ditinggalkan dengan suatu rasa kerinduan. Kumohon kepada-Mu untuk bertemu Ramadhan dan Syawal akan datang. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu atas segala-galanya....

Mie Lob – cuba berziarah sebanyak mungkin di hari mulia....

Rabu, 11 Ogos 2010

Selamat Hari Lahir Mira!



Selamat Hari Lahir buat ‘kakak’ yang baru sahaja menyambutnya pada tanggal 11 ogos yang lalu. Wah, kakak dah semakin besar ya? Tahniah buat kakak. Walaupun agak ringkas, namun sambutan hari lahir kakak kali ini amat istimewa kerana bertepatan dengan 1 Ramadhan 1431 H. Oleh sebab itulah agaknya kakak sangat teruja menantikan tarikh itu. Tahniah kerana kakak juga telah memulakan hari pertama Ramadhan itu dengan berpuasa penuh! Doa ayah semoga kakak menjadi anak yang cemerlang dan dapat mencapai cita-cita kakak.
Mie Lob – sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak...

Ramadhan


Ramadhan bertandang kembali. Masa terus bergerak pantas bersama usia yang semakin meningkat. Kadatangan bulan mulia yang penuh barakah ini turut mengimbau banyak kenangan silam yang masih tersusun rapi dalam lipatan ingatan. Kenangan yang cukup indah. Ketika meniti zaman kanak-kanak, Ramadhan punya ceritanya tersendiri. Ketika itu, berpuasa bukanlah sesuatu yang mudah. Amat meletihkan dan menyiksakan.

Hidup dalam persekitaran keluarga dan suasana desa ketika itu nostalgianya amat terasa. Ketika zaman kanak-kanak, azam untuk berpuasa amat kuat. Tambahan pula kedatangan Ramadhan akan diikuti pula oleh Syawal yang menggembirakan. Sudah tentulah semangat berpuasa semakin membara kerana selepas itu hari raya menjadi penuh bermakna.

Namun dalam usia kanak-kanak, secara perbandingannya kita merasakan perjalanan masa terlalu lambat dan terlalu panjang. Kedatangan Ramadhan dan Syawal yang setahun sekali itu pun terasa begitu lama dinantikan. Syawal yang berlalu pula terasa amat sayang untuk dilepaskan. Setiap detik dalam kemeriahan Syawal amat berharga dan perlu dimanfaat sepenuhnya.

Begitulah Ramadhan ditempuhi ketika zaman kanak-kanak. Bulan penuh barakah itu tetap ditempuhi dengan sabar dan tabah. Bayangkan ketika berpuasa, untuk menantikan sejam lagi sebelum sampai waktu berbuka pun terasa amatlah lama! Sudah tidak terdaya rasanya. Itulah cabarannya, walaupun pergerakaan masa yang dirasakan terlalu lambat namun puasa tetap penuh. Rasa gembira ketika berbuka menjadi saat istimewa. Istimewa kerana juadahnya pun ‘istimewa’ walupun sekadar pengat pisang!

Mungkinkah kanak-kanak zaman kini dapat merasakan seperti yang kita rasakan dahulu? Ataukah mereka juga merasakan'nya' tetapi dengan cara yang berbeza? Apapun, kehadiran Ramadhan kali ini ingin kusambut dengan hati yang penuh tawaduk dalam mengharapkan keredaan-Mu.

Mie Lob - Ya-Allah, hanya pada-Mu kami meminta...

Jumaat, 6 Ogos 2010

Hasrat warga JPM untuk meraikan persaraan Pengarah IPG Kampus Raja Melewar akhirnya direalisasikan. Tanggal 4 Ogos 2010 akan terpahat sebagai tarikh istimewa buat JPM bersama Pengarah yang telah ditemukan dalam suatu majlis Leraian Kasih Tautan Mesra di Royal Bintang, Seremban. Kenangan bersama Pengarah pada hari itu akan tersemat di sanubari. Kesemua pensyarah JPM telah berusaha meluangkan masa untuk hadir memeriahkan majlis termasuk Pn. Hjh. Mariam dan Encik Ghazali. Syabas dan tahniah! Teruskan semangat kerjasama jitu demi martabat JPM.

Mie Lob – seronok tengok sedutan akhir video yang ditayangkan..

BM Sem 3 (PPISMP)




Masa berlalu. Kini, kalian sudah semakin hampir ke penghujung semester. Rasanya, masa memang berlari pantas tanpa mahu menanti lagi. Dua semester yang ditinggalkan terasa baru sahaja berlalu. Kenapa? Mungkinkah kini kita sudah semakin disibukkan?..Namun, ingatlah.. perjuangan mesti diteruskan.
Alhamdulillah..., pada kesempatan yang ada kita dipertemukan sekali lagi. Tujuannya hanya satu agar hubungan silaturrahim yang terjalin akan terus utuh dan teguh. Agar semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang ada semakin padu. Begitulah hendaknya..amin. Sekali lagi, tahniah buat kalian atas semua pencapaian yang ditunjukkan. Namun, jangan pula kalian cepat berpuas hati. Teruskanlah usaha agar kalian dapat menjadi yang terbilang dalam kalangan yang cemerlang. Jika terdapat kekurangan di mana-mana, baikilah. Yang penting kalian perlu ingat-meningati.
Kepada yang usianya kian menginjak dewasa, tahniah.. pengalaman akan mematangkan kalian. Dewasalah dalam kematangan itu. Akhir sekali, pertemuan kali ini juga sebagai tanda kesyukuran atas segala-galanya. Lebih-lebih lagi kerana kita akan diberi kesempatan sekali lagi untuk bertemu Ramadhan (mungkinkah?). Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik buat kita..insyaAllah.
Mie Lob – sentiasa mengharapkan Ramadhan yang terbaik itu...

Khamis, 29 Julai 2010

Pembelajaran dan Pemelajaran

Sekali pandang, nampaknya tiada perbezaan antara kedua-dua perkataan di atas dan boleh bertukar ganti. Kedua-duanya berasal daripada kata dasar belajar yang menerima apitan peN...an. Namun, dalam Kamus Dewan kata pembalajaran dan pemelajaran adalah dua entri yang berbeza. Bagi kebanyakan pengguna, perkataan pembelajaranlah yang sering digunakan berbanding kata pemelajaran. Kata tersebut sering digunakan untuk merujuki proses yang berlaku dalam bilik darjah. Dalam kamus, dinyatakan bahawa pembelajaran ialah proses (kegiatan) belajar manakala pemelajaran pula ialah proses mempelajari. Kegiatan belajar termasuklah segala usaha yang dilakukan oleh pelajar, bantuan yang mungkin diberikan oleh pihak lain seperti guru, mengambil nota, membuat latihan, menyiapkan tugasan, dan sebagainya. Dengan kata lain, pembelajaran ialah semua aktiviti kegiatan belajar untuk memperoleh ilmu dan agak luas cakupannya. Sedangkan pemelajaran ialah proses mempelajari atau usaha yang dilakukan oleh seseorang pelajar untuk menguasai ilmu. Misalnya, di sekolah guru meminta pelajar mendalami tajuk yang akan dibincangkan. Pelajar kemudian akan membuat rujukan, membaca, bertanya orang dan sebagainya secara sendirian. Proses inilah yang dirujuk sebagai pemelajaran dan cakupan makna bagi kata ini agak terhad berbanding dengan kata pembelajaran. Waallah hu 'alam..

Mie Lob – Terjumpa penggunakan kata pemelajaran sekali-sekala...

Isnin, 28 Jun 2010

KS 'pada'

Saya pernah membincangkan tentang penggunaan beberapa kata sendi dalam bahasa Melayu. Baru-baru ini, saya terbaca huraian perbezaan antara frasa bergantung kepada dan bergantung pada. Pada dan kepada adalah sebahagian daripada contoh kata sendi yang sering juga menimbulkan kekeliruan penggunanya. Apabila membincangkan kata sendi, saya teringat kembali suatu ketika dahulu saya pernah ditanya manakah yang betul, “Gambar itu tergantung di dinding”(i) atau “Gambar itu tergantung pada dinding”(ii).

Menurut TD, kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Oleh sebab itu dalam ayat (i) di atas, FSN di dinding masih betul kerana kata dinding menunjukkan tempat. Walaupun begitu, dalam frasa tergantung di dinding terdapat kata kerja yang menunjukkan perbuatan tergantung mendahului kata di dinding. Oleh hal yang demikian, frasa tergantung di dinding tidak gramatis dalam ayat tersebut.

Manakala dalam frasa tergantung pada dinding bagi ayat (ii), kata sendi pada terletak di hadapan kata nama dan menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja atau menjadi keterangan tempat sesuatu perbuatan (tergantung). Penjelasan ini lebih menepati penerangan seperti yang diberikan oleh TD.

Mie Lob – sentiasa perlu merujuk TD...

Ahad, 27 Jun 2010

Perintis MRSM Baling





Tanggal 21 Jun 2010, tepat jam 9.00 pagi kami menjejakkan kaki di MRSM Baling. Kehadiran ramai ibu bapa bakal pelajar perintis yang mendaftarkan anak masing-masing pagi itu membuatkan saya terpaksa beratur panjang menunggu giliran. Mulai tarikh tersebut, Muhammad Amir Hakim akan berada jauh di utara tanah air demi sebuah perjuangan. Walaupun ada kebimbangan dan kegusaran yang kadang-kadang menjentik emosi, namun semuanya perlu diketepikan. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Hanya doa yang dapat kami iringkan bersama pemergiannya itu. Semoga menjadi anak yang tabah, berdikari, dan dewasa dengan pengalaman. Kami juga memohon semoga Allah s.w.t. permudahkan segala urusannya sehingga beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Sepanjang hari itu, segala urusan pendaftaran cuba kami selesaikan sebaik mungkin. Setelah segalanya selesai, sebelum balik sempat juga kami ‘outing’ bersama Amir di pekan Baling. Lebih kurang jam 5.00 petang kami meninggalkan Amir bersama dunia ‘baru’nya yang masih asing, jauh di utara! Air mata mama menitis lagi...
Mei Lob - terbayangkan 'cabaran' pada masa hadapan yang lebih hebat...

Sabtu, 19 Jun 2010

Pak Tam dan Ayah

Dalam perjalanan ke institut minggu lepas, saya mendapat berita menyedihkan daripada Pak Tam. Ayahnya yang tercinta kembali ke rahmatullah. Takziah buat Pak Tam dan keluarga. Semoga beliau tabah dan reda dengan apa yang telah ditentukan-Nya.

Kehilangan seseorang ahli dalam kalangan keluarga memang sesuatu yang amat menyedihkan. Tambahan pula seseorang yang bergelar 'ayah'. Insan hebat yang gigih dan tabah mencari rezeki untuk membesarkan kita. Kerana gigihnya ayah, kita berupaya menjadi seperti apa yang kita ada sekarang. Syukur, alhamdulillah.

Kegigihannya insan yang bergelar ayah ini membuatkan saya teringat, ketika saya dan adik beradik yang lain berusaha menanam semula getah di kebun ayah setelah ayah meninggal dunia. Saya tak dapat bayangkan betapa tabah dan gigihnya ayah meneroka tanah hutan dan mengusahakannya demi membesarkan anak-anak. Bayangkan, ketika teknologi belum maju, kapak, parang, sabit dan tenaga empat kerat ayah mampu menukarkan kawasan hutan itu menjadi kebun getah. Daripada kerja-kerja menebang, membersihkan, menanam, sehinggalah kebun itu mengeluarkan hasil. Semuanya menggunakan kudrat ayah dengan tulang empat keratnya. Sedangkan saya tiga beradik, baru melakukan kerja-kerja meracun di kebun seluas itu pun terasa tidak terdaya untuk menyiapkannya. Akhirnya, terpaksa juga mengupah orang untuk melakukannya!

Daripada hasil kebun itulah ayah mampu menyara keluarga dan menyekolahkan kami adik-beradik. Ayah, budimu sangat basar dan tidak akan terbalas jua. Hanya doa yang dapat saya titipkan buat ayah. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya, diberikan keampunan, dan di tempatkan bersama para solihin dan syuhada.

Saya percaya, 'seorang ayah' buat Pak Tam juga sangat besar ertinya. Kepada Pak Tam, banyak-banyaklah bersabar. Semoga ayahnya pergi dengan tenang. Saya turut mendoakan semoga roh ayahnya dicucuri rahmat dan dikumpulkan bersama orang-orang yang diredhai-Nya. Amin...

Mie Lob – sekarang kita telah sama-sama jadi ayah yang membesarkan anak-anak..

Rabu, 9 Jun 2010

3H2M Dilambung Ombak







Pengalaman selama 3 hari 2 malam di lautan lepas, Laut Cina Selatan adalah pengalaman pertama yang akan terpahat dalam kenangan. Perjalanan selama 5 jam menuju ‘unjam darat’ dengan bot unjam TRF 1080, walaupun suatu perjalanan yang panjang namun tidak membosankan. Pemandangan indah daratan kelihatan dari jauh. Daratan yang ditinggalkan, sedikit demi sedikit kian menghilang daripada pandangan. Yang kelihatan ketika itu hanya laut seluas-luasnya.

Dalam perjalanan kami menunju unjam darat itu, bot berlabuh seketika berhampiran kawasan unjam lain bagi membolehkan kami memancing appolo untuk mendapatkan ikan-ikan kecil sebagai umpan. Petang itu, sebaik kami sampai di unjam darat, masing-masing tidak sabar melabuhkan pancing untuk menguji ikan-ikan di kawasan yang kedalamannya mencecah 60 meter itu! Namun sepanjang malam, hanya seekor haruan tasik yang berjaya didaratkan. Jam 3.00 pagi hujan turun mencurah-curah.

Esoknya jam 8.00, kami bergerak pula ke kawasan ‘karang’ yang jaraknya 1 jam perjalanan dari unjam darat. Di kawasan karang, beberapa ekor ikan dapat didaratkan antaranya kerapu bara, haruan tasik, tambak, kachi dan lain-lain. Mungkin kurang kepakaran memancing di kawasan karang menyebabkan banyak kali umpan yang telah diragut ikan tetapi ikan tidak dapat dinaikkan malah tali pancing pula terpaksa diputuskan kerana tersangkut pada karang. Walaupun agak kecewa, namun kami masih gembira kerana berbalaoi juga kami memancing di situ.

Petang itu, kami bergerak balik ke unjam darat sekali lagi untuk bersama bot besar yang akan sampai di kawasan unjam tersebut untuk memukat. Sepanjang malam, ada yang masih berusaha melabuhkan pancing. Malam itu, hujan turun dan angin kencang menyebabkan laut agak bergelora. Walaupun tidak mendapat ikan besar, kami seronok memancing appolo kerana kawasan unjam memang banyak kawanan ikan kecil.

Jam 4.00 pagi kami berpeluang melihat bagaimana kerja-kerja memukat dijalankan apabila bot besar TRF 1080 sampai untuk memukat. Walaupun keadaan laut agak bergelora kerana ribut awal pagi itu, saya tetap tidak melepaskan peluang menaiki bot kecil untuk pergi ke bot memukat. Sekali-sekali terasa ombak betul-betul akan menenggelamkan bot kecil yang kami naiki dalam kegelapan dinihari itu.

Saya dapat menyaksikan setiap peristiwa, bermula daripada kerja-kerja menurunkan ‘lerek’ (daun kelapa) bagi menarik ikan-ikan keluar dari kawasan unjam hinggalah kepada ikan-ikan yang telah dipukat dimuatkan ke dalam petak. Pagi itu, 2 petak diisi penuh dengan ikan selayang, tamban, selar, kembung dan sebagainya. Menurut tekong, angaran tangkapan pada pagi itu, ialah 5000 kilogram ikan! Semua kerja memukat selasai jam 9.00 pagi.

Setelah selesai kami kembali ke bot unjam. Pagi itu, di kawasan unjam seekor lagi kerapu bara berjaya dinaikkan. Menurut tekong kawasan unjam itu memang banyak spesis ikan tersebut. Mungkin keadaan arus yang terlalu deras menyebabkan kami tidak banyak membuat tangkapan. Akhirnya hampir jam 11.00, kami bertolak balik ke Pelabuhan Cendering.

Dalam perjalanan, tekong bot menunjukkan kami satu kawasan ‘memancing segera’. Kami berhenti seketika di situ dan melihat bagaimana anak kapal menurunkan pancing dan menaikkan seekor kerapu dalam masa yang singkat! Menurut tekong, jika melalui kawasan itu biasanya mereka akan memancing di kawasan itu dalam masa yang singkat. Jika ada, dapatlah. Tetapi katanya, selalunya memang ada! Kami berada di situ selama 20 minit sahaja.

Perjalanan diteruskan dan kami selamat sampai di pelabuhan hampir jam 5.00 petang. Hati puas dan gembira. Inilah pengalaman pertama yang tidak akan saya lupakan. Pengalaman yang sukar diperoleh di mana-mana.

Mie Lob – banyak pengalaman kali ini yang boleh dijadikan bekalan..

KT - Aku datang lagi..

Sekali lagi saya berpeluang berkunjung ke KT semasa cuti sekolah kali ini. Setelah semuanya siap, kami sekeluarga memulakan perjalanan petang Jumaat itu lebih kurang jam 6.00, walaupun pada mulanya telah bercadang hendak bertolak lebih awal. Maklumlah, macam-macam yang hendak dibereskan. Ain pula, awal-awal lagi sudah memberitahu bahawa dia tidak mahu ikut. Dia akan menghadapi PMR akhir tahun nanti. Mungkin, dia mahu lebih banyak masa untuk mengulangkaji semasa cuti ini. Jadi terpaksalah kami ke rumah neneknya di Pasir Panjang untuk ditinggalkan di sana.

Sebaik semuanya telah sedia, kami pun memulakan perjalanan. Tempat persinggahan pertama kami dalam perjalanan kali ini ialah di Stesen Petronas selepas bandar Kuala Pilah. Setelah mengisi minyak dan selesai sembahyang, serta mengambil sedikit makanan ringan seperti roti untuk mengisi perut, kami meneruskan perjalanan. Memang kami telah merancang untuk makan malam di Bandar Muazzam lebih kurang jam 9 malam nanti. Perjalanan lancar dan sebaik sampai di Muazam, masing-masing sudah kelaparan.

Apa lagi, kakak dan Azri yang memang ‘hantu’ mee bandung terus memesan makanan kegemarannya itu. Mama yang memesan nasi goreng kampong merungut kerana nasi yang dipesannya itu tidak begitu pedas. Manakala Amir pula sentiasa setia dengan burgernya. Adik seperti biasa, tumpang mee bandung abang dan kakaknya. Saya pula, kalau dah malam begini, mee goreng sajalah jawabnya. Lebih kurang jam 10.00 setelah selesai mengisi perut, perjalanan diteruskan. Sebaik masuk ke LPT kami berhadapan dengan hujan lebat sehinggalah ke Jabor. Namun begitu, kami tetap meneruskan perjalanan walaupun terpaksa bergerak perlahan.

Sepanjang perjalanan Jabor – Jerangau, kami menempuh hujan sekali-sekala. Saya yang memang suka dengan perjalanan malam tidak berasa begitu mengantuk, cuma mata terasa pedih dan berair mungkin keletihan. Anak-anak, semuanya terlelap setelah kekenyangan menjamu selera di Muazzam. Saya berhenti sekali lagi di Bukit Besi untuk merehatkan badan sambil menikmati segelas kopi panas. Setelah badan dan mata kembali segar, perjalanan di teruskan ke KT.

Hampir jam 2.00 pagi ketika menghampiri bandar KT, selepas lampu isyarat Bukit Payung, kami terkejut kerana melihat begitu banyak motosikal di atas laluan jalan raya menghala ke KT sehingga menghalang perjalanan kami. Kami tidak dapat bergerak langsung hampir sepuluh minit kerana beratus-ratus mat motor berada di atas jalan raya menghalang laluan tersebut. Semakin lama, semakin banyak mat motor lain datang dan bertumpu di laluan itu seolah-olah satu pergaduhan sedang berlaku. Isteri bimbang apabila saya keluar untuk cuba melihat apa sebenarnya yang berlaku. Apabila saya bertanya, adakah kemalangan berlaku kepada salah seorang mat motor itu, dia hanya mengangguk sahaja dalam keadaan bingit deruman motor.

Mat-mat motor itu nampak liar dengan deruman enjin motor dan sewenang-wenangnya pula menyeberang melintasi pembahagi jalan untuk menyertai kumpulan yang berkumpul di laluan kami. Akhirnya, apabila mat-mat motor itu mula bergerak perlahan-lahan menghala ke KT, barulah kami boleh meneruskan perjalanan. Sebaik melintasi kawasan yang dikerumuni mat-mat motor itu tadi, tiada apa pula yang saya lihat. Entahlah, apa sebenarnya yang berlaku. Namun saya bersyukur kerana akhirnya kami selamat juga sampai di rumah Hajazi, di Kampong Atas Tol. Tidak lama kemudian, saya terus melelapkan mata kerana esok ada lagi perjalanan yang lebih mencabar.

Mie Lob – sepanjang perjalanan itu sebenarnya terlalu banyak yang kita temui tetapi jarang kita renungi...

Selasa, 11 Mei 2010

Anekdot 1

Pada suatu petang, Khoja Nasaruddin dan rakan-rakannya duduk berehat di bawah sepohon pokok berhampiran sebatang sungai sambil menghirup kopi. Mereka berbual-bual tentang pelbagai peristiwa yang pernah dilalui. Sedang mereka rancak berbual dan ketawa, tiba-tiba seorang rakan Khoja yang terkenal dengan sifat kedekutnya telah terjatuh ke dalam sungai. Maka kelam kabutlah rakan-rakan Khoja berusaha untuk menarik Si kikir itu naik semula ke darat. Masing-masing mencuba menghulurkan tangan untuk membantu sambil berteriak. “Cepat, hulurkan tanganmu! Biar aku bantu ”. Seorang lagi rakan Khoja pula berkata, “Berikan tanganmu! Biar aku tarik naik”. Namun segala kata-kata rakan Khoja itu tidak diendahkan oleh Si kikir sebaliknya dia hanya berusaha sendiri tanpa mahu dibantu. Melihat keadaan Si kikir yang terkial-kial itu, Khoja tampil ke depan sambil berkata, “Nah, terimalah tanganku untuk aku bantumu naik”. Si kikir pun segera mencapai tangan Khoja lalu ditarik naik. Kawan-kawan Khoja terpaku memandang penuh kehairanan!

Mei Lob – Faham tak?? ..kagum melihat kuasa bahasa...

Mencandat















Lebih kurang jam 2.30, aku memulakan perjalanan ke Putrajaya setelah berjanji dengan Hajazi untuk bergerak ke Kuala Terengganu pada petang Jumaat itu. Dalam perjalanan ke sana, aku singgah di Port Dickson untuk mengeluarkan sedikit wang. Sepanjang perjalanan, aku memikirkan tentang keadaan yang akan aku tempuh nanti kerana inilah pengalaman pertama! Walaupun teruja, namun ada juga kebimbangan dalam hati ini apabila memikirkan bahawa aku akan berada semalaman di atas bot di tengah laut.

Mampukah aku menghadapi gelora dan mabuk laut nanti? Walaupun aku pernah mengikuti aktiviti memancing di laut sebelum ini, namun kebimbangan tetap ada. Adakah perjalanan ini akan berhasil atau sekadar perjalanan ‘makan angin’ sahaja? Ahh.. itu semua tidak penting. Aku memang telah lama berhajat untuk mengikuti aktiviti mencandat tetapi selama ini semuanya hanya tinggal dalam rancangan sahaja. Lebih kurang jam 10.00 malam, aku menjejakkan kaki semula di Kuala Terenggganu yang baru dikunjungi semasa cuti TBC dahulu.

Sebaik sampai, aku, Hajazi, Ina dan Najah mengalas perut dengan roti canai sahaja kerana kami baru sahaja makan sebelum itu. Kemudian kami terus ke rumah Hajazi di Kg Atas Tol. Pada pagi Sabtu, Hajazi membawaku ke Pelabuhan Cendering untuk melihat bot yang akan digunakan selain membeli peralatan mencandat sebelum kami ke rumah bapanya. Di rumah bapa Hajazi, aku dijamu makan tengah hari.

Sebelum turun ke laut selepas asar, aku sempat melelapkan mata. Di pelabuhan, sebaik kesemua rakan yang akan turut serta telah sampai dan semua barang keperluan telah dimasukkan ke dalam bot, bot pun bergerak meninggalkan pelabuhan. Apabila sampai di lokasi, sauh pun dilabuhkan berhampiran Pulau Kapas. Kami memulakan aktiviti mencandat. Sotong pertama hari itu dinaikkan oleh kumpulan ‘Kudin n The Gang’. Semuanya bersorak gembira. Kemudian, satu persatu sotong melekat pada mata candat rakan-rakanku. Namun, aku hanya mampu melihat sambil tersenyum kerana masih belum mendapat sebarang hasil. Lewat senja, barulah mata candatku mengena. Seekor sotong yang agak besar saiznya itu kembali membakar semangatku yang kian malap.

Sepanjang malam, seekor demi seekor sotong dinaikkan oleh rakan-rakan. Sesekali ‘Pok’ tersenyum melihat aku yang begitu tekun meghulurkan tali pancing. Menjelang tengah malam, aku sekadar dapat mencandat lima ekor sotong sahaja. Namun aku tetap gembira kerana melihat gelagat rakan yang ceria apabila sotong yang dicandat menyemburkan air. Sepanjang malam itu, dua kali bot beralih untuk mencari lokasi yang lebih baik. Ketika jam menunjukkan pukul 1 pagi, mata pun sudah mula rasa mengantuk. Akhirnya aku terlelap bersama-sama rakan lain di atas dek bot melayan mimpi.

Apabila tersedar awal pagi itu, aku kembali menyambung aktiviti. Pagi itu beberapa ekor sotong lagi dapat ditambah dalam rekod tangkapanku sebelum kami bergerak balik. Akhirnya, lebih kurang jam 8 pagi bot pun bergerak meninggalkan kawasan tersebut menuju pelabuhan. Selesailah aktiviti mencandat kali ini. Walaupun tidak memperoleh banyak hasil tangkapan, namun sebenarnya banyak yang aku ‘peroleh’ dalam perjalanan ini. Merenung keindahan panorama malam dari kejauhan tengah laut, melihat keindahan bulan purnama mengambang di kaki langit lewat malam, menyaksikan gelagat spesis ikan muncul dipermukaan laut yang di simbah cahaya lampu limpah, dan banyak lagi keindahan dan pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Sesungguhnya, terlalu hebat ciptaan Tuhan..

Mei Lob – teringin nak berada 3 hari di tengah laut cuti bulan Jun nanti..