Azmi b. Ayub




Sabtu, 16 April 2011

Bercerita dalam Didik Hibur

Kerajaan telah memperkenalkan kurikulum baharu dalam sistem pendidikan negara. Kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum ini telah dilaksanakan kepada semua murid Tahun 1 mulai tahun 2010.

Dalam kurikulum tersebut, beberapa komponen kemahiran telah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia. Antaranya ialah kemahiran didik hibur. Salah satu elemen yang terdapat dalam kemahiran didik hibur ialah aktiviti bercerita. Melalui aktiviti tersebut, pelajar diharapkan dapat mengujarkan bahasa yang indah dan menggunakan bahasa badan dengan kreatif semasa bercerita secara didik hibur.

Sebenarnya aktiviti bercerita memang telah lama menjadi sebahagian daripada teknik pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan telah diamalkan sejak sekian lama. Melalui aktiviti ini, banyak kemahiran penting dalam berbahasa dapat dikuasai khususnya dalam kemahiran lisan. Namun sejak belakangan ini, aktiviti bercerita kurang diaplikasikan oleh guru dalam pengajaran kerana sistem pendidikan lebih menekankan ‘exam oriented’ yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan awam.

Melalui pendekatan yang berorientasikan peperiksaan ini, kejayaan dalam pelajaran bukan ditentukan oleh penguasaan kemahiran dalam sesuatu subjek tetapi sebaliknya berdasarkan keputusan yang dicapai oleh pelajar dalam peperiksaan semata-mata. Malangnya, sistem peperiksaan atau penilaian yang diamalkan di negara kita pula hanya berfokus kepada penguasaan aspek pengetahuan dan dinilai melalui peperiksaan bertulis sahaja. Akibatnya, banyak pelajar yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi tidak mencapai tahap cemerlang dalam kemahiran berbahasa. Banyak pelajar berjaya menguasai A dalam peperiksaan bertulis tetapi tidak mencapai tahap tersebut dalam belajar kemahiran belajar.

Dengan penjenamaan semula aktiviti bercerita melalui didik hibur, diharapkan guru-guru akan lebih memberi perhatian kepada pendidikan yang sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan kepada murid-murid. Melalui pendidikan, mereka berpeluang memenuhi keperluan dan sifat ingin tahu dalam diri mereka. Mereka bukan hanya disumbatkan dengan ‘ilmu’ semata-mata tetapi menerima ilmu tersebut dengan cara yang menyeronokkan. Dengan itu, murid-murid akan sentiasa teruja untuk melengkapkan pengetahuan mereka dan meneroka banyak perkara dalam pembelajaran yang mereka hadapi.

Dalam memastikan kurikulum ini dapat menjalankan fungsinya dengan baik, semua pihak sepatutnya mengambil sikap yang positif. Jika tidak, hasrat untuk menambah baik sistem pendidikan tidak akan menjadi kenyataan. Sekiranya semua pihak tidak melaksanakan peranan masing-masing, akhirnya kita akan tetap berada pada tahap lama. Perubahan yang diharapkan tidak akan menjadi kenyataan. Kurikulum baharu yang diperkenalkan akan kekal menjadi kurikulum baharu kepada semua jika mereka masih belum mengimplementasikannya!

Mie Lob – perubahan selalunya akan membawa kita selangkah ke hadapan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan