Azmi b. Ayub




Jumaat, 22 April 2011

Kolam ikan...


Bermula pada awal bulan November 2010 dan siap sepenuhnya pada penghujung Disember 2010. Setelah 4 bulan berlalu, kini di dalam kolam tersebut terdapat 9 ekor koi, 5 ekor lampam, 4 ekor jelawat dan 4 ekor kelah. Bagi Mira dan Arin, rutin memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut pada waktu petang adalah masa yang mereka tunggu-tunggu. Masing-masing berebut siapa yang beri makanan terlebih dahulu. Kadang-kadang jadi punca gaduh (kerana masing-masing selalu tak mahu mengalah). Terpaksalah ditetapkan, seorang bagi satu sudu makanan sahaja!
Mie Lob - satu sudu lagi ayah dia yang bagi, hehe.
.

Selasa, 19 April 2011

Didik hibur : Bercerita

Mengapa cikgu perlu bercerita?

1. Menggalakkan murid-murid meneroka keunikan diri

2. Menyuburkan sifat peka mereka kepada kelebihan menguasai bahasa

3. Murid-murid dapat menyuarakan pendapat atau perasaan secara lisan

4. Meningkatkan kemahiran lisan (mendengar dan bertutur)

5. Memperkenalkan dan menambah kosa kata

6. Menjadi asas pembelajaran mengarang untuk murid-murid

7. Guru Dapat mengenali muridnya dengan lebih baik

8. Memupuk nilai-nilai positif

9. Dapat digunakan untuk mengajar topik-topik lain (misalnya: kem memberi arahan)

10. Menghilangkan tekanan pada pelajar

Mie Lob – hilang dah rasa stress!

Ahad, 17 April 2011

Paradigmatik dan Sintagmatik

Bagi pelajar yang baru mendalami kajian linguistik, mungkin agak sukar untuk memahami konsep hubungan ini dalam ilmu linguistik. Namun untuk memudahkan pengkajian linguistik selanjutnya, mereka perlu memahami konsep ini dengan jelas dan tepat. Arbak Othman dalam bukunya Permulaan Ilmu Linguistik telah memperkenalkan istilah ‘penyebaran’ untuk menerangkan tentang hubungan ini. Penyebaran yang dimaksudkan ialah penyebaran suatu unit linguistik yang berlaku dalam bahasa dan penyebaran itu pula memperlihatkan suatu hubungan dengan unit yang lain mengikut konteksnya. Hubungan unit linguistik ini berlaku secara sistematis dan terhad pula kejadiannya.

Dalam kajian bahasa terdapat dua jenis hubungan, iaitu paradigmatik dan sintagmatik. Sesuatu unit linguistik itu dikatakan boleh memasuki kedua-dua jenis hubungan itu. Dengan menyelidik kedua-duanya bagi sesuatu jenis unsur, kita akan dapat mengetahui penyebaran unsur itu, iaitu kedudukannya dalam pola sesuatu bahasa. Seterusnya, ini memungkinkan kita untuk mengetahui dan menjelaskan sistem dan struktur bahasa yang ingin dihuraikan itu.

Kedua-dua jenis hubungan ini dapat dijelaskan melalui contoh berikut: saya – kaya. Oleh sebab / s / dan / k / yang merupakan unit linguistik berada pada konteks ( di tempat) yang sama dalam suatu struktur, maka unit linguistik ini dikatakan berada pada hubungan paradigmatik. Dengan kata lain, kedua-dua unsur ini ‘sefungsi’ kerana berada di tempat yang sama dalam struktur bahasa. Manakala unsur / s / dalam kata saya berada pada hubungan sintagmatik dengan / a /, / y / dam / a /.

Hubungan paradigmatik dan sintagmatik bukan sahaja dapat diperlihatkan pada peringkat perkataan, malah pada semua peringkat penghuraian linguistik misalnya, rangkai kata sebuah buku. Kata buku berada pada hubungan sintagmatik dengan kata sebuah. Jika dibandingkan dengan rangkai kata sebuah kereta, dan sebuah rumah pula, kata buku tadi berada pada hubungan paradigmatik dengan kereta dan rumah. Begitu jugalah jika kita mengkaji hubungan tersebut dalam kejadian ayat Dia makan roti dan Dia makan nasi. Dapatkah anda jelaskan hubungan paradigmatik dan sintagmatik yang berlaku? Dengan melihat hubungan tersebut tentu kita dapat menjelaskan sistem dan struktur bahasa Melayu.

Mie Lob – kelabu tentang konsep semasa belajar dahulu...

Sabtu, 16 April 2011

Bercerita dalam Didik Hibur

Kerajaan telah memperkenalkan kurikulum baharu dalam sistem pendidikan negara. Kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum ini telah dilaksanakan kepada semua murid Tahun 1 mulai tahun 2010.

Dalam kurikulum tersebut, beberapa komponen kemahiran telah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia. Antaranya ialah kemahiran didik hibur. Salah satu elemen yang terdapat dalam kemahiran didik hibur ialah aktiviti bercerita. Melalui aktiviti tersebut, pelajar diharapkan dapat mengujarkan bahasa yang indah dan menggunakan bahasa badan dengan kreatif semasa bercerita secara didik hibur.

Sebenarnya aktiviti bercerita memang telah lama menjadi sebahagian daripada teknik pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan telah diamalkan sejak sekian lama. Melalui aktiviti ini, banyak kemahiran penting dalam berbahasa dapat dikuasai khususnya dalam kemahiran lisan. Namun sejak belakangan ini, aktiviti bercerita kurang diaplikasikan oleh guru dalam pengajaran kerana sistem pendidikan lebih menekankan ‘exam oriented’ yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan awam.

Melalui pendekatan yang berorientasikan peperiksaan ini, kejayaan dalam pelajaran bukan ditentukan oleh penguasaan kemahiran dalam sesuatu subjek tetapi sebaliknya berdasarkan keputusan yang dicapai oleh pelajar dalam peperiksaan semata-mata. Malangnya, sistem peperiksaan atau penilaian yang diamalkan di negara kita pula hanya berfokus kepada penguasaan aspek pengetahuan dan dinilai melalui peperiksaan bertulis sahaja. Akibatnya, banyak pelajar yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi tidak mencapai tahap cemerlang dalam kemahiran berbahasa. Banyak pelajar berjaya menguasai A dalam peperiksaan bertulis tetapi tidak mencapai tahap tersebut dalam belajar kemahiran belajar.

Dengan penjenamaan semula aktiviti bercerita melalui didik hibur, diharapkan guru-guru akan lebih memberi perhatian kepada pendidikan yang sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan kepada murid-murid. Melalui pendidikan, mereka berpeluang memenuhi keperluan dan sifat ingin tahu dalam diri mereka. Mereka bukan hanya disumbatkan dengan ‘ilmu’ semata-mata tetapi menerima ilmu tersebut dengan cara yang menyeronokkan. Dengan itu, murid-murid akan sentiasa teruja untuk melengkapkan pengetahuan mereka dan meneroka banyak perkara dalam pembelajaran yang mereka hadapi.

Dalam memastikan kurikulum ini dapat menjalankan fungsinya dengan baik, semua pihak sepatutnya mengambil sikap yang positif. Jika tidak, hasrat untuk menambah baik sistem pendidikan tidak akan menjadi kenyataan. Sekiranya semua pihak tidak melaksanakan peranan masing-masing, akhirnya kita akan tetap berada pada tahap lama. Perubahan yang diharapkan tidak akan menjadi kenyataan. Kurikulum baharu yang diperkenalkan akan kekal menjadi kurikulum baharu kepada semua jika mereka masih belum mengimplementasikannya!

Mie Lob – perubahan selalunya akan membawa kita selangkah ke hadapan...

Jumaat, 15 April 2011

Ateh akan terus melangkah...

Semua orang punya keinginan dan impian untuk dicapai. Mungkin impian itu hanya suatu impian kecil atau mungkin juga impian itu seperti ingin kugapai bintang-bintang di langit. Walau apa pun, saya percaya setiap orang ingin impian hidup mereka menjadi kenyataan. Jika impian terus tinggal sebagai impian, itu hanyalah suatu angan-angan!
Impian menjadi cita-cita apabila disertai dengan iltizam. Tidak kira kecil atau besar impian itu, sepatutnya kita harus sedar bahawa tidak mungkin impian itu akan dapat dicapai tanpa usaha dari diri kita sendiri. (Hanya dalam perjudian sahaja, usaha sedikit dapat memberikan kejayaan yang besar.) Secara logiknya, sedikit usaha yang perlu untuk mencapai impian yang kecil tetapi untuk mencapai cita-cita yang tinggi, usaha dan pengorbanan yang besar amat diperlukan. Semua impian perlukan usaha. Hanya usaha gigih dan kesanggupan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit akan memastikan impian itu direalisasikan.
Namun begitu, bukan semua cita-cita dapat dicapai melalui usaha gigih sesorang itu semata-mata. Ada orang yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu impian namun akhirnya dia gagal juga. Ada orang yang sanggup berhabis wang ringgit untuk mencapai suatu impian tetapi akhirnya kecewa. Oleh sebab itu, kita harus menyedari sebenarnya terdapat banyak faktor yang akan menentukan kejayaan seseorang dalam mencapai impiannya. Atas kesedaran tentang faktor-faktor tersebut, kemungkinan kita berpeluang untuk menanganinya dengan lebih berkesan agar impian tercapai.
Sebagai insan lemah yang lalai kita sering terlupa. Kadang-kadang, walaupun kita sedar namun kita sering gagal menangani faktor-faktor tersebut lantaran kelemahan kita sebagai manusia. Kita bukan mesin atau robot yang dapat menangani semua perkara menggunakan formula 1 + 1 = 2. Kita adalah manusia unik. Walaupun kita mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah yang sama tetapi kita tidak menyelesaikan masalah itu dengan cara yang sama!
Sebagai manusia kita pasti pernah menemui kegagalan dalam mencapai sesuatu impian. Sebagai manusia yang normal, saya pasti anda akan berasa kecewa apabila menghadapi kegagalan. Namun jangan biarkan kekecewaan itu memusnahkan hidup anda. Saya banyak membaca kisah bagaimana manusia yang berjaya sebenarnya bermula dengan kegagalan yang dihadapinya. Kegagalan adalah guru terbaik untuk mencapai kejayaan.
Apa yang penting dalam menghadapi saat-saat kegagalan ialah kekuatan untuk mengekalkan minda yang positif. Lihat kegagalan dari sudut yang lain. Jangan lihat kegagalan itu sebagai kegagalan. Lihatlah, kegagalan itu sebagai peluang. Gagal sekali bukan bererti akan gagal semuanya. Mungkin kita ditakdirkan gagal mencapai impian kecil itu kerana kita telah ditentukan untuk mencapai impian yang lebih besar!
Mie Lob - perlu terus berjalan ke hadapan...


Selasa, 5 April 2011

Pemikiranku beku?

Rasanya telah sekian lama aku tidak menulis coretan dalam blog ini. Bukannya tidak ada bahan yang hendak ditulis. Mustahil! Sebagai seorang manusia yang menjadi pemerhati dan kadang-kadang peneliti, sebenarnya banyak bahan yang boleh aku jadikan subjek tulisanku. Terlalu banyak ciptaan Tuhan yang Maha Pencipta di muka bumi ini. Tetapi selalunya hasrat menulis sering tertangguh dan terkubur. Alasan yang selalu diberikan ialah kesibukan waktu. Tak sempat nak menulis.. Tetapi, adakah alasan itu adalah yang sebenarnya? Ataukah alasan itu hanya sekadar alasan? Sebenarnya ada satu sahaja alasan yang tidak akan dapat kutolak. Malas! Aku gagal menggerakkan pemikiran sedarku apatah lagi pemikiran bawah sedarku untuk aku kembali mengaktifkan blog ini. Aku gagal melawan rasa malas yang bersarang dalam minda bawah sedar itu. Hmm.. Baru tadi aku terbaca satu ungkapan kata-kata bestari, "Orang sibuk ialah orang yang tidak cekap kerana orang yang cekap tidak akan sibuk". Diri aku??????
Mie Lob - nak menulis lah...

Rabu, 5 Januari 2011

Tahniah Buat Ain


Sekali lagi, ku panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke haderat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk merasai nikmat kegembiraan atas kejayaanmu, Ain. Tahniah daripada ayah, mama, adik-adik dan tentunya daripada seluruh ahli keluarga lain atas kejayaan itu. Ayah berbangga kerana Ain telah membuktikan bahawa kekurangan yang pernah dilalui bukanlah pematah semangat untuk mencapai kejayaan. Walaupun tidak berjaya ke mana-mana sekolah berasrama elit atau pun agak lewat mengikuti pelajaran dengan selesa semasa di Tingkatan 1, namun Ain telah buktikan bahawa Ain boleh. Ayah percaya, usaha gigihmu bukan sedikit. Syabas! Kepada semua yang turut membantu khusus buat guru-gurumu, terima kasih yang tidak terhingga. Hanya Allah jua yang akan membalasnya. Doa kami agar Ain akan terus tabah dan gigih dalam usaha memburu cita-citamu. Kami iringi dengan doa agar Ain menjadi anak solehah yang akan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Mie Lob - semoga Ain jadi pemangkin buat adik-adik yang lain...