.
LAMAN BLOG MIE LOB
Cetusan Rasa dan Minda
Jumaat, 22 April 2011
Kolam ikan...
.
Selasa, 19 April 2011
Didik hibur : Bercerita
Mengapa cikgu perlu bercerita?
1. Menggalakkan murid-murid meneroka keunikan diri
2. Menyuburkan sifat peka mereka kepada kelebihan menguasai bahasa
3. Murid-murid dapat menyuarakan pendapat atau perasaan secara lisan
4. Meningkatkan kemahiran lisan (mendengar dan bertutur)
5. Memperkenalkan dan menambah kosa kata
6. Menjadi asas pembelajaran mengarang untuk murid-murid
7. Guru Dapat mengenali muridnya dengan lebih baik
8. Memupuk nilai-nilai positif
9. Dapat digunakan untuk mengajar topik-topik lain (misalnya: kem memberi arahan)
10. Menghilangkan tekanan pada pelajar
Mie Lob – hilang dah rasa stress!
Ahad, 17 April 2011
Paradigmatik dan Sintagmatik
Bagi pelajar yang baru mendalami kajian linguistik, mungkin agak sukar untuk memahami konsep hubungan ini dalam ilmu linguistik. Namun untuk memudahkan pengkajian linguistik selanjutnya, mereka perlu memahami konsep ini dengan jelas dan tepat. Arbak Othman dalam bukunya Permulaan Ilmu Linguistik telah memperkenalkan istilah ‘penyebaran’ untuk menerangkan tentang hubungan ini. Penyebaran yang dimaksudkan ialah penyebaran suatu unit linguistik yang berlaku dalam bahasa dan penyebaran itu pula memperlihatkan suatu hubungan dengan unit yang lain mengikut konteksnya. Hubungan unit linguistik ini berlaku secara sistematis dan terhad pula kejadiannya.
Dalam kajian bahasa terdapat dua jenis hubungan, iaitu paradigmatik dan sintagmatik. Sesuatu unit linguistik itu dikatakan boleh memasuki kedua-dua jenis hubungan itu. Dengan menyelidik kedua-duanya bagi sesuatu jenis unsur, kita akan dapat mengetahui penyebaran unsur itu, iaitu kedudukannya dalam pola sesuatu bahasa. Seterusnya, ini memungkinkan kita untuk mengetahui dan menjelaskan sistem dan struktur bahasa yang ingin dihuraikan itu.
Kedua-dua jenis hubungan ini dapat dijelaskan melalui contoh berikut: saya – kaya. Oleh sebab / s / dan / k / yang merupakan unit linguistik berada pada konteks ( di tempat) yang sama dalam suatu struktur, maka unit linguistik ini dikatakan berada pada hubungan paradigmatik. Dengan kata lain, kedua-dua unsur ini ‘sefungsi’ kerana berada di tempat yang sama dalam struktur bahasa. Manakala unsur / s / dalam kata saya berada pada hubungan sintagmatik dengan / a /, / y / dam / a /.
Hubungan paradigmatik dan sintagmatik bukan sahaja dapat diperlihatkan pada peringkat perkataan, malah pada semua peringkat penghuraian linguistik misalnya, rangkai kata sebuah buku. Kata buku berada pada hubungan sintagmatik dengan kata sebuah. Jika dibandingkan dengan rangkai kata sebuah kereta, dan sebuah rumah pula, kata buku tadi berada pada hubungan paradigmatik dengan kereta dan rumah. Begitu jugalah jika kita mengkaji hubungan tersebut dalam kejadian ayat Dia makan roti dan Dia makan nasi. Dapatkah anda jelaskan hubungan paradigmatik dan sintagmatik yang berlaku? Dengan melihat hubungan tersebut tentu kita dapat menjelaskan sistem dan struktur bahasa Melayu.
Mie Lob – kelabu tentang konsep semasa belajar dahulu...Sabtu, 16 April 2011
Bercerita dalam Didik Hibur
Kerajaan telah memperkenalkan kurikulum baharu dalam sistem pendidikan negara. Kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum ini telah dilaksanakan kepada semua murid Tahun 1 mulai tahun 2010.
Dalam kurikulum tersebut, beberapa komponen kemahiran telah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia. Antaranya ialah kemahiran didik hibur. Salah satu elemen yang terdapat dalam kemahiran didik hibur ialah aktiviti bercerita. Melalui aktiviti tersebut, pelajar diharapkan dapat mengujarkan bahasa yang indah dan menggunakan bahasa badan dengan kreatif semasa bercerita secara didik hibur.
Sebenarnya aktiviti bercerita memang telah lama menjadi sebahagian daripada teknik pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan telah diamalkan sejak sekian lama. Melalui aktiviti ini, banyak kemahiran penting dalam berbahasa dapat dikuasai khususnya dalam kemahiran lisan. Namun sejak belakangan ini, aktiviti bercerita kurang diaplikasikan oleh guru dalam pengajaran kerana sistem pendidikan lebih menekankan ‘exam oriented’ yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan awam.
Melalui pendekatan yang berorientasikan peperiksaan ini, kejayaan dalam pelajaran bukan ditentukan oleh penguasaan kemahiran dalam sesuatu subjek tetapi sebaliknya berdasarkan keputusan yang dicapai oleh pelajar dalam peperiksaan semata-mata. Malangnya, sistem peperiksaan atau penilaian yang diamalkan di negara kita pula hanya berfokus kepada penguasaan aspek pengetahuan dan dinilai melalui peperiksaan bertulis sahaja. Akibatnya, banyak pelajar yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi tidak mencapai tahap cemerlang dalam kemahiran berbahasa. Banyak pelajar berjaya menguasai A dalam peperiksaan bertulis tetapi tidak mencapai tahap tersebut dalam belajar kemahiran belajar.
Dengan penjenamaan semula aktiviti bercerita melalui didik hibur, diharapkan guru-guru akan lebih memberi perhatian kepada pendidikan yang sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan kepada murid-murid. Melalui pendidikan, mereka berpeluang memenuhi keperluan dan sifat ingin tahu dalam diri mereka. Mereka bukan hanya disumbatkan dengan ‘ilmu’ semata-mata tetapi menerima ilmu tersebut dengan cara yang menyeronokkan. Dengan itu, murid-murid akan sentiasa teruja untuk melengkapkan pengetahuan mereka dan meneroka banyak perkara dalam pembelajaran yang mereka hadapi.
Dalam memastikan kurikulum ini dapat menjalankan fungsinya dengan baik, semua pihak sepatutnya mengambil sikap yang positif. Jika tidak, hasrat untuk menambah baik sistem pendidikan tidak akan menjadi kenyataan. Sekiranya semua pihak tidak melaksanakan peranan masing-masing, akhirnya kita akan tetap berada pada tahap lama. Perubahan yang diharapkan tidak akan menjadi kenyataan. Kurikulum baharu yang diperkenalkan akan kekal menjadi kurikulum baharu kepada semua jika mereka masih belum mengimplementasikannya!
Mie Lob – perubahan selalunya akan membawa kita selangkah ke hadapan...Jumaat, 15 April 2011
Ateh akan terus melangkah...
Selasa, 5 April 2011
Pemikiranku beku?
Rabu, 5 Januari 2011
Tahniah Buat Ain
Sekali lagi, ku panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke haderat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk merasai nikmat kegembiraan atas kejayaanmu, Ain. Tahniah daripada ayah, mama, adik-adik dan tentunya daripada seluruh ahli keluarga lain atas kejayaan itu. Ayah berbangga kerana Ain telah membuktikan bahawa kekurangan yang pernah dilalui bukanlah pematah semangat untuk mencapai kejayaan. Walaupun tidak berjaya ke mana-mana sekolah berasrama elit atau pun agak lewat mengikuti pelajaran dengan selesa semasa di Tingkatan 1, namun Ain telah buktikan bahawa Ain boleh. Ayah percaya, usaha gigihmu bukan sedikit. Syabas! Kepada semua yang turut membantu khusus buat guru-gurumu, terima kasih yang tidak terhingga. Hanya Allah jua yang akan membalasnya. Doa kami agar Ain akan terus tabah dan gigih dalam usaha memburu cita-citamu. Kami iringi dengan doa agar Ain menjadi anak solehah yang akan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Mie Lob - semoga Ain jadi pemangkin buat adik-adik yang lain...