Azmi b. Ayub




Isnin, 26 April 2010

Blog Lesu dan Kaku

Sudah hampir dua minggu lebih saya tidak menulis dalam blog. Ini bermakna tidak ada sebarang tambahan artikel. Oleh sebab itu, sepanjang dua minggu blog jadi lesu dan kaku. Namun, saya akan pastikan agar blog ini tidak terus kaku. Sebenarnya bukan tidak ada idea hendak menulis tetapi memikirkan hambatan masa sejak belakangan ini menyebabkan idea yang ada dalam fikiran tetap tinggal dalam fikiran. Mungkin dalam konteks penulisan, idea itu mengalami proses pengeraman. Namun jika saya tidak berusaha menggerakkan jari-jemari ini untuk menulis, sudah tentu idea akan kekal dieram tanpa penetasan atau lebih buruk lagi akan hilang ditelan masa. Apabila difikirkan, saya berasa banyak perkara yang menyebabkan saya menjadi terlalu sibuk. Tetapi betulkan saya benar-benar sibuk? Apakah 24 jam, atau 1440 minit, atau 86400 saat yang ada dalam sehari itu tidak mencukupi untuk saya menulis dan menangani kesibukan itu? Sepanjang dua minggu ini, saya terpaksa pulang ke kampung pada setiap hujung minggu kerana meraikan dan membatu keluarga abang yang mengadakan majlis kenduri di rumahnya dan diikuti oleh majlis kenduri di rumah ibu pula pada minggu berikutnya. Sepanjang minggu itu juga, terdapat dua kursus KPKI yang terpaksa saya hadapi. Pada masa yang sama juga berlangsung pula audit dalaman di peringkat IPG. Aduh, memang terasa banyak juga kerja yang terpaksa dibuat. Walau pun saya dapat menyenaraikan banyak perkara yang menjadi hambatan masa sepanjang minggu itu, namun saya perlu memikirkan semula bahawa semua itu hanyalah persepsi dan keyakinan negatif yang ada dalam pemikiran saya menyebabkan saya tidak dapat menghasilkan sebarang artikel dalam blog saya! Betullah, sebagaimana tulisan Sdr. Amar Mahmod, iaitu selagi pemikiran negatif masih ada dalam minda, selagi itulah kita akan terus mendapat hasil yang negatif dalam realiti kehidupan. Selepas ini saya tidak perlu lagi mencari-cari alasan mengapa saya tidak dapat menyiapkan sesuatu tugasan. Saya sepatutnya perlu memikirkan bagaimana pemikiran yang penuh dengan pelbagai alasan dan kepercayaan-kepercayaan negatif ini dapat saya ubah dan saya isi dengan kepercayaan-kepercayaan baru yang positif agar saya dapat merealisasikan impian saya. Saya perlu menulis dan terus menulis!
Mei Lob – seronok kerana menulis membuatkan minda semakin tajam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan