Azmi b. Ayub




Jumaat, 26 Februari 2010

Jadual Bertugas

Ketika menjadi guru di sekolah dahulu, saya sering juga ditugaskan menjadi guru kelas. Memang menjadi sebahagian daripada tugas guru kelas untuk menyediakan jadual bertugas pelajar selama seminggu untuk memastikan kelas dalam keadaan bersih dan teratur. Biasanya, Jadual Bertugaslah yang menjadi tajuk bagi jadual yang dimaksudkan. Itulah yang menjadi amalan guru sejak dahulu dan rangkai kata tersebut sudah diterima umum bagi merujuk jadual tersebut. Tetapi kini, rangkai kata tersebut dianggap salah dari segi tatabahasanya. Hal ini kerana rangkai kata tersebut yang dari segi semantiknya boleh juga membawa makna jadual yang bertugas bukannnya tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh pelajar . Ini mungkin kerana kata bertugas tergolong dalam kata kerja dan dalam ayat dasar yang berpola Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK) rangkai kata tersebut telah dapat dianggap sebagai satu ayat yang lengkap. Ungkapan jadual bertugas bermakna jadual yang melakukan tugas. Oleh itu, dari segi tatabahasa rangkai kata yang paling tepat untuk merujuk makna sebenar jadual tersebut ialah Jadual Tugasan. Dalam rangkai kata itu, kedua-dua kata ialah kata nama dan rangkai kata tersebut tergolong dalam kata majmuk. Hal inilah yang sering menjadi persoalan antara ahli tatabahasa beraliran perspektif atau beraliran deskriptif dalam menentukan tatabahasa pegangan. Tatabahasa mengikut bahasa atau bahasa mengikut tatabahasa?
Mie Lob – setuju dengan kedua-dua aliran asalkan bahasa terus perkasa…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan