Azmi b. Ayub




Khamis, 7 Januari 2010

Komunikasi : Bahasa Tubuh
Bahasa tubuh adalah istilah yang luas untuk pelbagai bentuk komunikasi yang menggunakan gerak badan atau gerak isyarat sebagai ganti ataupun sebagai pelengkap untuk bahasa lisan dan bentuk komunikasi lain. Bahasa tersebut merupakan satu kategori paralinguistik yang merangkumi segala komunikasi manusia yang bukan bahasa.
Paralinguistik atau bahasa gerak-geri tubuh sering dianggap sebagai luar kawal walaupun sebenarnya, perbezaan antara gerakan yang sengaja dibuat atau luar kawal tidak begitu jelas: umpamanya, senyuman atau lambaian boleh dibuat secara sengaja ataupun secara luar kawal. Bahasa gerak-geri sengaja merujuk kepada pergerakan, gerak isyarat dan lagak yang dibuat dengan sengaja (tersenyum, pergerakan tangan, mengajuk tindakan). Air muka juga merupakan bentuk bahasa tubuh serta cara untuk mengesan perasaan seseorang.
Perhubungan antara bahasa tubuh dengan komunikasi haiwan sering diperdebatkan. Paralinguistik manusia mungkin merupakan penerusan bentuk-bentuk komunikasi yang digunakan oleh nenek moyang yang tidak berbahasa; ataupun bentuknya mungkin telah diubah dengan wujudnya bersama dengan bahasa.
Bahasa tubuh adalah hasil pengaruh genetik serta persekitaran. Kanak-kanak akan senyum dan ketawa walaupun mereka tidak pernah nampak senyuman. Etologis Iraneus Eibl-Eibesfeldt menyatakan bahawa beberapa unsur bahasa tubuh yang asas adalah sejagat dan merentasi pelbagai budaya. Oleh sebab itu, ada pola gerak-gerinya berada bawah kawalan kenalurian. Menurut Iraneus lagi, sebahagian bentuk bahasa tubuh manusia menunjukkan penerusan dengan gerak isyarat komunikasi mawas yang lain, walaupun makna telah diubah. Gerak isyarat yang lebih halus dan yang berbeza-beza antara budaya (umpamanya, gerak isyarat untuk "ya" dan "tidak") harus dipelajari ataupun diubah suai melalui pembelajaran, biasanya dengan pemerhatian persekitaran secara bawah sedar.
Terdapat tanda-tanda bahawa bahasa tubuh lebih mustahak dalam komunikasi khalayak apabila dibandingkan dengan komunikasi satu-dengan-satu. Dalam komunikasi khalayak, setiap orang mempunyai saluran bahasa tubuh yang terbuka kepada semua orang yang lain dalam kumpulan sedangkan pertuturan biasanya hanya dihadkan kepada satu orang sahaja pada satu masa. Dengan kata lain, lebih besar kumpulannya, lebih banyak bahasa tubuh perlu dipergunakan.
Menunjukkan tapak tangan kepada para pendengar mungkin merupakan sikap berterus-terang dan kejujuran, sedangkan menyembunyikan tapak tangan mungkin membawa makna pembohongan. Menggerakkan tangan menghampiri mulut ataupun menyentuh hidung mungkin juga membawa maksud pembohongan.
Mengalihkan kaki atau lutut ke arah orang yang lain mungkin menunjukkan minat kepada orang tersebut ataupun penerimaan. Mengalihkan badan dari arah orang yang sedang bercakap mungkin bermakna anda tidak minat berbual dengan orang itu tetapi lebih minat berbual dengan orang yang di hadapan anda.
Kesenyapan sering merupakan satu bentuk paralinguistik yang mempunyai pelbagai tafsiran yang biasanya, bergantung kepada individu. Satu tafsiran yang merangkumi kesenyapan serta memandang lantai ataupun mengelakkan hubungan mata, biasanya menunjukkan bahawa orang itu sedang memikirkan masalah yang menjejaskannya secara emosi. Dalam budaya Barat, tidak memandang mata orang juga menunjukkan pembohongan. Ini juga menunjukkan bahawa anda lebih suka berada di tempat lain berbanding berbual dengan mereka; ketidakselesaan ataupun kerisauan yang disertai pembohongan. -meilob

Tiada ulasan:

Catat Ulasan