Azmi b. Ayub




Jumaat, 5 Februari 2010

Jom Makan PPISMP (BM/KS) Sem 2/2010




Atas usaha KU dan semua ahli Unit PPISMP (BM/KS) Ambilan Julai 2009, seramai 21 orang tutee telah dapat dikumpulkan di KFC Seremban untuk bersama-sama dengan tutor dan keluarga untuk bersama-sama menikmati hidangan ayam goreng. Puh, sambil menikmati jamuan, para tutee dan tutor dapat beramah mesra. Kejelekitan yang ditunjukkan oleh tutee amat membanggakan tutor. Di harap kerjasama tersebut akan berterusan sepanjang mereka menjalani kursus di IPG Kampus Raja Melewar. Tahniah buat KU, PKU dan semua pelajar Unit PPISMP (BM/KS) Sem 2!
Mie Lob (Tutor) - seronok tengok kejeleketan dalam kalangan tutee... teruskan.

Rabu, 3 Februari 2010

Tokeh

Pada kesempatan waktu rehat tengah hari tadi, aku bergegas ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban kerana semalam, Ongah menelefon memaklumkan aku bahawa Tokeh (panggilan mesra untuk seorang lagi kawan sekampung aku) dimasukkan ke hospital. Oleh sebab sudah lewat dan ada urusan lain semalam, maka baru hari inilah aku berkesempatan melawatnya. Biasalah, di hospital memang susah hendak mencari tempat parkir. Setelah membuat satu pusingan, aku dapat juga satu petak kosong walaupun agak jauh. Sebaik masuk ke Wad 7A, kudengar suara yang menyebut namaku walaupun tidak begitu jelas. Tokeh, pada raut wajahmu terlihat derita akibat penyakit yang ditanggung, namun betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul! Sedih, melihat seorang rakan yang dahulu sama-sama melakukan pelbagai aktiviti di kampung kini dalam keadaan uzur kerana penyakit buah pinggang yang dialaminya. Aku sangat berharap kehadiranku dapat menggembirakannya walaupun sekejap. Aku cuba membantu setakat termampu. Mohd Jalil, aku berdoa agar saudara cepat sembuh.

Masa oh Masa

Semua orang dianugerahkan masa 24 jam sehari. Semuanya sama, tidak ada yang terkurang atau yang terlebih walau sedetik pun. Tetapi kerap kali apabila diajukan soalan mengapa masih belum buat lagi?, kita sering mendengar keluhan yang mengatakan, saya tak ada masa, saya sibuk, banyak kerja, dan seribu satu macam alasan lagi. Semuanya menyalahkan masa yang seolah-olah 24 jam itu terlalu sedikit walaupun sebenarnya 24 jam itu mengandungi 86,400 saat! Jika manusia menghargai setiap saat, banyak perkara yang boleh mereka lakukan dalam sehari. Namun begitu, ketika mereka memberi alasan saya tak ada masa, ada pula yang apabila ditanya apa yang sedang kamu buat?, mereka menjawab, saja.. nak menghabiskan masa! Nampaknya manusia ini memang amat berbeza kerana sebahagiannya telah dapat melakukan banyak perkara manakala sebahagian yang lain pula tidak melakukan apa-apa. Kepada semua guru pelatih, mulalah menggerakkan usaha untuk menyiapkan tugasan supaya apabila sampai masanya semuanya dapat dihantar tepat pada masanya. Jadilah seorang guru pelatih cemerlang bermula dengan pengurusan masa yang cemerlang!

Isnin, 18 Januari 2010

JADUAL PERANCANGAN KERJA KURSUS SESI JAN 2010
1. 4 Jan – 8 Jan – Taklimat Pelaksanaan KK Pkt IPG
2. 11 Jan – 15 Jan – Mesy/Taklimat Pkt Jabatan
– Penyediaan dan Pemurnian JPT,Tugasan dan PMM
3. 25 Jan – 29 Jan – Taklimat KK kepada pelajar
4. 1 Feb – 12 Mac – Pelaksanaan, Bimbingan dan Pemantauan KK
5. 13 Mac – 26 Mac – Penyemakan KK
6. 29 Mac – 2 Apr – Moderasi Pkt Jabatan
7. 5 Apr – 9 Apr – Moderasi Pkt IPG
8. 12 Apr – 23 Apr – Pengisian Markah
9. 26 Apr – 30 Apr – Penyerahan BKKP kepada KUPP

* Tempoh: KKP - tidak melebihi 4 minggu / Projek - 4 hingga 8 minggu

Khamis, 14 Januari 2010

Di Puncak Kinabalu

Tanggal 17 Disember 09, jam 5.30 pagi, kelompok pertama pendaki dari IPG Kampus Raja Melewar berjaya menjejakkan kaki di Low’s Peak (4,095.2 m) setelah memulakan pendakian hari kedua seawal jam 2.00 pagi dari Laban Rata. Syabas! Walaupun berhadapan dengan angin kencang dan cuaca sejuk, namun pada wajah mereka tergambar kepuasan berada di puncak tertinggi Asia Tenggara! Pemandangan indah dari puncak Kinabalu membuatkan kami melupakan segala-galanya. Tambahan, cuaca cerah awal pagi itu membuatkan pemandangan sekeliling amat mempersonakan!
Setelah puas menikmati keindahan di puncak Kinabalu, peserta mula bergerak turun jam 7.00 pagi sambil terus merakamkan panorama indah. Sebaik sampai di tempat penginapan, peserta menikmati sarapan pagi dan kemudian membuat persiapan untuk bergerak turun jam 10.30 pagi. Sepanjang perjalanan dari tempat penginapan hinggalah ke pintu masuk Timpohon, peserta terpaksa menempuhi cuaca berkabus dan hujan sepanjang jalan! Perjalanan turun juga sukar kerana laluan yang licin melambatkan perjalanan ditambah pula peserta yang keletihan dan ada sesetengahnya mengalami kecederaan ringan.
Akhirnya, hampir jam 8.00 malam barulah kesemua peserta mendaki dari IPG KRM selamat sampai di bawah. Walaupun keletihan dan kepenatan, namun semuanya tetap bersemangat dan ceria untuk mengikutikan program seterusnya! Sekali lagi syabas kepada semua! Anda hebat!

Khamis, 7 Januari 2010

Komunikasi : Bahasa Tubuh
Bahasa tubuh adalah istilah yang luas untuk pelbagai bentuk komunikasi yang menggunakan gerak badan atau gerak isyarat sebagai ganti ataupun sebagai pelengkap untuk bahasa lisan dan bentuk komunikasi lain. Bahasa tersebut merupakan satu kategori paralinguistik yang merangkumi segala komunikasi manusia yang bukan bahasa.
Paralinguistik atau bahasa gerak-geri tubuh sering dianggap sebagai luar kawal walaupun sebenarnya, perbezaan antara gerakan yang sengaja dibuat atau luar kawal tidak begitu jelas: umpamanya, senyuman atau lambaian boleh dibuat secara sengaja ataupun secara luar kawal. Bahasa gerak-geri sengaja merujuk kepada pergerakan, gerak isyarat dan lagak yang dibuat dengan sengaja (tersenyum, pergerakan tangan, mengajuk tindakan). Air muka juga merupakan bentuk bahasa tubuh serta cara untuk mengesan perasaan seseorang.
Perhubungan antara bahasa tubuh dengan komunikasi haiwan sering diperdebatkan. Paralinguistik manusia mungkin merupakan penerusan bentuk-bentuk komunikasi yang digunakan oleh nenek moyang yang tidak berbahasa; ataupun bentuknya mungkin telah diubah dengan wujudnya bersama dengan bahasa.
Bahasa tubuh adalah hasil pengaruh genetik serta persekitaran. Kanak-kanak akan senyum dan ketawa walaupun mereka tidak pernah nampak senyuman. Etologis Iraneus Eibl-Eibesfeldt menyatakan bahawa beberapa unsur bahasa tubuh yang asas adalah sejagat dan merentasi pelbagai budaya. Oleh sebab itu, ada pola gerak-gerinya berada bawah kawalan kenalurian. Menurut Iraneus lagi, sebahagian bentuk bahasa tubuh manusia menunjukkan penerusan dengan gerak isyarat komunikasi mawas yang lain, walaupun makna telah diubah. Gerak isyarat yang lebih halus dan yang berbeza-beza antara budaya (umpamanya, gerak isyarat untuk "ya" dan "tidak") harus dipelajari ataupun diubah suai melalui pembelajaran, biasanya dengan pemerhatian persekitaran secara bawah sedar.
Terdapat tanda-tanda bahawa bahasa tubuh lebih mustahak dalam komunikasi khalayak apabila dibandingkan dengan komunikasi satu-dengan-satu. Dalam komunikasi khalayak, setiap orang mempunyai saluran bahasa tubuh yang terbuka kepada semua orang yang lain dalam kumpulan sedangkan pertuturan biasanya hanya dihadkan kepada satu orang sahaja pada satu masa. Dengan kata lain, lebih besar kumpulannya, lebih banyak bahasa tubuh perlu dipergunakan.
Menunjukkan tapak tangan kepada para pendengar mungkin merupakan sikap berterus-terang dan kejujuran, sedangkan menyembunyikan tapak tangan mungkin membawa makna pembohongan. Menggerakkan tangan menghampiri mulut ataupun menyentuh hidung mungkin juga membawa maksud pembohongan.
Mengalihkan kaki atau lutut ke arah orang yang lain mungkin menunjukkan minat kepada orang tersebut ataupun penerimaan. Mengalihkan badan dari arah orang yang sedang bercakap mungkin bermakna anda tidak minat berbual dengan orang itu tetapi lebih minat berbual dengan orang yang di hadapan anda.
Kesenyapan sering merupakan satu bentuk paralinguistik yang mempunyai pelbagai tafsiran yang biasanya, bergantung kepada individu. Satu tafsiran yang merangkumi kesenyapan serta memandang lantai ataupun mengelakkan hubungan mata, biasanya menunjukkan bahawa orang itu sedang memikirkan masalah yang menjejaskannya secara emosi. Dalam budaya Barat, tidak memandang mata orang juga menunjukkan pembohongan. Ini juga menunjukkan bahawa anda lebih suka berada di tempat lain berbanding berbual dengan mereka; ketidakselesaan ataupun kerisauan yang disertai pembohongan. -meilob

Selasa, 5 Januari 2010

Kundasang, 17 Disember 2009. Seramai 18 orang pelajar KPLI Bimbingan dan Kaunseling Ambilan Jun 2009 dan 5 orang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar telah berjaya menawan puncak tertinggi Asia Tenggara tepat jam 5.30 pagi. Pendakian yang bermula seawal jam 2.00 pagi dari Laban Rata, berjalan lancar berikutan cuaca yang baik pada pagi itu. Keadaan itu membolehkan peserta menikmati pemandangan yang sangat menarik dari puncak Kinabalu.
Selepas menghabiskan masa lebih kurang kurang setengah jam di puncak tertinggi iaitu Low’s Peak (4095.2 m), peserta kemudiannya bergerak turun dan mengadakan sesi bergambar berhampiran South Peak. Menurut saudara Namron selaku ketua ekspedisi, walaupun beliau telah empat kali mendaki Kinabalu, cabaran pada setiap kali mendaki tetap dirasakan apatah lagi kepada peserta yang baru kali pertama mendaki.
Menurut beliau lagi program seperti ini sangat bermanfaat khususnya untuk meningkatkan semangat, ketabahan, kegigihan, dan kerjasama khususnya dalam kalangan peserta. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya sampai ke kemuncak khususnya kepada lima orang pensyarah IPG KRM iaitu, Tn. Hj. Harun bin Ujang dari Jabatan HEP, En Mohd Aris Othman dari Jabatan Sains Sosial, En. Azmi b. Ayub dari Jabatan Pengajian Melayu, En Jalil dan En. Azulhilmi dari Jabatan Pendidikan Jasmani. -meilob.