Azmi b. Ayub




Isnin, 28 Jun 2010

KS 'pada'

Saya pernah membincangkan tentang penggunaan beberapa kata sendi dalam bahasa Melayu. Baru-baru ini, saya terbaca huraian perbezaan antara frasa bergantung kepada dan bergantung pada. Pada dan kepada adalah sebahagian daripada contoh kata sendi yang sering juga menimbulkan kekeliruan penggunanya. Apabila membincangkan kata sendi, saya teringat kembali suatu ketika dahulu saya pernah ditanya manakah yang betul, “Gambar itu tergantung di dinding”(i) atau “Gambar itu tergantung pada dinding”(ii).

Menurut TD, kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Oleh sebab itu dalam ayat (i) di atas, FSN di dinding masih betul kerana kata dinding menunjukkan tempat. Walaupun begitu, dalam frasa tergantung di dinding terdapat kata kerja yang menunjukkan perbuatan tergantung mendahului kata di dinding. Oleh hal yang demikian, frasa tergantung di dinding tidak gramatis dalam ayat tersebut.

Manakala dalam frasa tergantung pada dinding bagi ayat (ii), kata sendi pada terletak di hadapan kata nama dan menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja atau menjadi keterangan tempat sesuatu perbuatan (tergantung). Penjelasan ini lebih menepati penerangan seperti yang diberikan oleh TD.

Mie Lob – sentiasa perlu merujuk TD...

Ahad, 27 Jun 2010

Perintis MRSM Baling





Tanggal 21 Jun 2010, tepat jam 9.00 pagi kami menjejakkan kaki di MRSM Baling. Kehadiran ramai ibu bapa bakal pelajar perintis yang mendaftarkan anak masing-masing pagi itu membuatkan saya terpaksa beratur panjang menunggu giliran. Mulai tarikh tersebut, Muhammad Amir Hakim akan berada jauh di utara tanah air demi sebuah perjuangan. Walaupun ada kebimbangan dan kegusaran yang kadang-kadang menjentik emosi, namun semuanya perlu diketepikan. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Hanya doa yang dapat kami iringkan bersama pemergiannya itu. Semoga menjadi anak yang tabah, berdikari, dan dewasa dengan pengalaman. Kami juga memohon semoga Allah s.w.t. permudahkan segala urusannya sehingga beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Sepanjang hari itu, segala urusan pendaftaran cuba kami selesaikan sebaik mungkin. Setelah segalanya selesai, sebelum balik sempat juga kami ‘outing’ bersama Amir di pekan Baling. Lebih kurang jam 5.00 petang kami meninggalkan Amir bersama dunia ‘baru’nya yang masih asing, jauh di utara! Air mata mama menitis lagi...
Mei Lob - terbayangkan 'cabaran' pada masa hadapan yang lebih hebat...

Sabtu, 19 Jun 2010

Pak Tam dan Ayah

Dalam perjalanan ke institut minggu lepas, saya mendapat berita menyedihkan daripada Pak Tam. Ayahnya yang tercinta kembali ke rahmatullah. Takziah buat Pak Tam dan keluarga. Semoga beliau tabah dan reda dengan apa yang telah ditentukan-Nya.

Kehilangan seseorang ahli dalam kalangan keluarga memang sesuatu yang amat menyedihkan. Tambahan pula seseorang yang bergelar 'ayah'. Insan hebat yang gigih dan tabah mencari rezeki untuk membesarkan kita. Kerana gigihnya ayah, kita berupaya menjadi seperti apa yang kita ada sekarang. Syukur, alhamdulillah.

Kegigihannya insan yang bergelar ayah ini membuatkan saya teringat, ketika saya dan adik beradik yang lain berusaha menanam semula getah di kebun ayah setelah ayah meninggal dunia. Saya tak dapat bayangkan betapa tabah dan gigihnya ayah meneroka tanah hutan dan mengusahakannya demi membesarkan anak-anak. Bayangkan, ketika teknologi belum maju, kapak, parang, sabit dan tenaga empat kerat ayah mampu menukarkan kawasan hutan itu menjadi kebun getah. Daripada kerja-kerja menebang, membersihkan, menanam, sehinggalah kebun itu mengeluarkan hasil. Semuanya menggunakan kudrat ayah dengan tulang empat keratnya. Sedangkan saya tiga beradik, baru melakukan kerja-kerja meracun di kebun seluas itu pun terasa tidak terdaya untuk menyiapkannya. Akhirnya, terpaksa juga mengupah orang untuk melakukannya!

Daripada hasil kebun itulah ayah mampu menyara keluarga dan menyekolahkan kami adik-beradik. Ayah, budimu sangat basar dan tidak akan terbalas jua. Hanya doa yang dapat saya titipkan buat ayah. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya, diberikan keampunan, dan di tempatkan bersama para solihin dan syuhada.

Saya percaya, 'seorang ayah' buat Pak Tam juga sangat besar ertinya. Kepada Pak Tam, banyak-banyaklah bersabar. Semoga ayahnya pergi dengan tenang. Saya turut mendoakan semoga roh ayahnya dicucuri rahmat dan dikumpulkan bersama orang-orang yang diredhai-Nya. Amin...

Mie Lob – sekarang kita telah sama-sama jadi ayah yang membesarkan anak-anak..

Rabu, 9 Jun 2010

3H2M Dilambung Ombak







Pengalaman selama 3 hari 2 malam di lautan lepas, Laut Cina Selatan adalah pengalaman pertama yang akan terpahat dalam kenangan. Perjalanan selama 5 jam menuju ‘unjam darat’ dengan bot unjam TRF 1080, walaupun suatu perjalanan yang panjang namun tidak membosankan. Pemandangan indah daratan kelihatan dari jauh. Daratan yang ditinggalkan, sedikit demi sedikit kian menghilang daripada pandangan. Yang kelihatan ketika itu hanya laut seluas-luasnya.

Dalam perjalanan kami menunju unjam darat itu, bot berlabuh seketika berhampiran kawasan unjam lain bagi membolehkan kami memancing appolo untuk mendapatkan ikan-ikan kecil sebagai umpan. Petang itu, sebaik kami sampai di unjam darat, masing-masing tidak sabar melabuhkan pancing untuk menguji ikan-ikan di kawasan yang kedalamannya mencecah 60 meter itu! Namun sepanjang malam, hanya seekor haruan tasik yang berjaya didaratkan. Jam 3.00 pagi hujan turun mencurah-curah.

Esoknya jam 8.00, kami bergerak pula ke kawasan ‘karang’ yang jaraknya 1 jam perjalanan dari unjam darat. Di kawasan karang, beberapa ekor ikan dapat didaratkan antaranya kerapu bara, haruan tasik, tambak, kachi dan lain-lain. Mungkin kurang kepakaran memancing di kawasan karang menyebabkan banyak kali umpan yang telah diragut ikan tetapi ikan tidak dapat dinaikkan malah tali pancing pula terpaksa diputuskan kerana tersangkut pada karang. Walaupun agak kecewa, namun kami masih gembira kerana berbalaoi juga kami memancing di situ.

Petang itu, kami bergerak balik ke unjam darat sekali lagi untuk bersama bot besar yang akan sampai di kawasan unjam tersebut untuk memukat. Sepanjang malam, ada yang masih berusaha melabuhkan pancing. Malam itu, hujan turun dan angin kencang menyebabkan laut agak bergelora. Walaupun tidak mendapat ikan besar, kami seronok memancing appolo kerana kawasan unjam memang banyak kawanan ikan kecil.

Jam 4.00 pagi kami berpeluang melihat bagaimana kerja-kerja memukat dijalankan apabila bot besar TRF 1080 sampai untuk memukat. Walaupun keadaan laut agak bergelora kerana ribut awal pagi itu, saya tetap tidak melepaskan peluang menaiki bot kecil untuk pergi ke bot memukat. Sekali-sekali terasa ombak betul-betul akan menenggelamkan bot kecil yang kami naiki dalam kegelapan dinihari itu.

Saya dapat menyaksikan setiap peristiwa, bermula daripada kerja-kerja menurunkan ‘lerek’ (daun kelapa) bagi menarik ikan-ikan keluar dari kawasan unjam hinggalah kepada ikan-ikan yang telah dipukat dimuatkan ke dalam petak. Pagi itu, 2 petak diisi penuh dengan ikan selayang, tamban, selar, kembung dan sebagainya. Menurut tekong, angaran tangkapan pada pagi itu, ialah 5000 kilogram ikan! Semua kerja memukat selasai jam 9.00 pagi.

Setelah selesai kami kembali ke bot unjam. Pagi itu, di kawasan unjam seekor lagi kerapu bara berjaya dinaikkan. Menurut tekong kawasan unjam itu memang banyak spesis ikan tersebut. Mungkin keadaan arus yang terlalu deras menyebabkan kami tidak banyak membuat tangkapan. Akhirnya hampir jam 11.00, kami bertolak balik ke Pelabuhan Cendering.

Dalam perjalanan, tekong bot menunjukkan kami satu kawasan ‘memancing segera’. Kami berhenti seketika di situ dan melihat bagaimana anak kapal menurunkan pancing dan menaikkan seekor kerapu dalam masa yang singkat! Menurut tekong, jika melalui kawasan itu biasanya mereka akan memancing di kawasan itu dalam masa yang singkat. Jika ada, dapatlah. Tetapi katanya, selalunya memang ada! Kami berada di situ selama 20 minit sahaja.

Perjalanan diteruskan dan kami selamat sampai di pelabuhan hampir jam 5.00 petang. Hati puas dan gembira. Inilah pengalaman pertama yang tidak akan saya lupakan. Pengalaman yang sukar diperoleh di mana-mana.

Mie Lob – banyak pengalaman kali ini yang boleh dijadikan bekalan..

KT - Aku datang lagi..

Sekali lagi saya berpeluang berkunjung ke KT semasa cuti sekolah kali ini. Setelah semuanya siap, kami sekeluarga memulakan perjalanan petang Jumaat itu lebih kurang jam 6.00, walaupun pada mulanya telah bercadang hendak bertolak lebih awal. Maklumlah, macam-macam yang hendak dibereskan. Ain pula, awal-awal lagi sudah memberitahu bahawa dia tidak mahu ikut. Dia akan menghadapi PMR akhir tahun nanti. Mungkin, dia mahu lebih banyak masa untuk mengulangkaji semasa cuti ini. Jadi terpaksalah kami ke rumah neneknya di Pasir Panjang untuk ditinggalkan di sana.

Sebaik semuanya telah sedia, kami pun memulakan perjalanan. Tempat persinggahan pertama kami dalam perjalanan kali ini ialah di Stesen Petronas selepas bandar Kuala Pilah. Setelah mengisi minyak dan selesai sembahyang, serta mengambil sedikit makanan ringan seperti roti untuk mengisi perut, kami meneruskan perjalanan. Memang kami telah merancang untuk makan malam di Bandar Muazzam lebih kurang jam 9 malam nanti. Perjalanan lancar dan sebaik sampai di Muazam, masing-masing sudah kelaparan.

Apa lagi, kakak dan Azri yang memang ‘hantu’ mee bandung terus memesan makanan kegemarannya itu. Mama yang memesan nasi goreng kampong merungut kerana nasi yang dipesannya itu tidak begitu pedas. Manakala Amir pula sentiasa setia dengan burgernya. Adik seperti biasa, tumpang mee bandung abang dan kakaknya. Saya pula, kalau dah malam begini, mee goreng sajalah jawabnya. Lebih kurang jam 10.00 setelah selesai mengisi perut, perjalanan diteruskan. Sebaik masuk ke LPT kami berhadapan dengan hujan lebat sehinggalah ke Jabor. Namun begitu, kami tetap meneruskan perjalanan walaupun terpaksa bergerak perlahan.

Sepanjang perjalanan Jabor – Jerangau, kami menempuh hujan sekali-sekala. Saya yang memang suka dengan perjalanan malam tidak berasa begitu mengantuk, cuma mata terasa pedih dan berair mungkin keletihan. Anak-anak, semuanya terlelap setelah kekenyangan menjamu selera di Muazzam. Saya berhenti sekali lagi di Bukit Besi untuk merehatkan badan sambil menikmati segelas kopi panas. Setelah badan dan mata kembali segar, perjalanan di teruskan ke KT.

Hampir jam 2.00 pagi ketika menghampiri bandar KT, selepas lampu isyarat Bukit Payung, kami terkejut kerana melihat begitu banyak motosikal di atas laluan jalan raya menghala ke KT sehingga menghalang perjalanan kami. Kami tidak dapat bergerak langsung hampir sepuluh minit kerana beratus-ratus mat motor berada di atas jalan raya menghalang laluan tersebut. Semakin lama, semakin banyak mat motor lain datang dan bertumpu di laluan itu seolah-olah satu pergaduhan sedang berlaku. Isteri bimbang apabila saya keluar untuk cuba melihat apa sebenarnya yang berlaku. Apabila saya bertanya, adakah kemalangan berlaku kepada salah seorang mat motor itu, dia hanya mengangguk sahaja dalam keadaan bingit deruman motor.

Mat-mat motor itu nampak liar dengan deruman enjin motor dan sewenang-wenangnya pula menyeberang melintasi pembahagi jalan untuk menyertai kumpulan yang berkumpul di laluan kami. Akhirnya, apabila mat-mat motor itu mula bergerak perlahan-lahan menghala ke KT, barulah kami boleh meneruskan perjalanan. Sebaik melintasi kawasan yang dikerumuni mat-mat motor itu tadi, tiada apa pula yang saya lihat. Entahlah, apa sebenarnya yang berlaku. Namun saya bersyukur kerana akhirnya kami selamat juga sampai di rumah Hajazi, di Kampong Atas Tol. Tidak lama kemudian, saya terus melelapkan mata kerana esok ada lagi perjalanan yang lebih mencabar.

Mie Lob – sepanjang perjalanan itu sebenarnya terlalu banyak yang kita temui tetapi jarang kita renungi...