Azmi b. Ayub




Khamis, 29 April 2010

Tahniah Buat Kalian!



April semakin ke penghujung. Pada kesempatan ini, sekali lagi saya dan teman-temannya turut mengambil peluang untuk meraikan sahabat yang menyambut hari ulang tahun kelahiran dalam bulan ini. Nisa, Aiza, Fitri dan Anam. Dua putera dan dua puteri Unit PPISMP (BM/PJ/KS) ini kembali merenung peredaran masa berlalu yang kali entah ke berapa untuk mereka terus mengorak langkah dalam perjuangan kehidupan. Diharap ulang tahun kelahiran kali ini akan membawa makna yang besar ertinya kepada kalian. Walaupun tiada majlis besar-besaran, walaupun tiada hidangan yang enak-enak, walaupun tiada dendangan lagu-lagu merdu tetapi kehadiran dan ingatan rakan-rakan diharap menjadi penyuntik semangat waja untuk terus berusaha mencapai cita-cita menjadi insan cemerlang yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negera. Buat : Nisa, Aiza, Fitri dan Anam.. Saya dan teman-teman anda mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun! Semoga anda dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dikurniakan kejayaan dan kebahagian di dunia dan akhirat. Amin...
Mei Lob – selalu mengenang teman-teman kerana terasa diri tidak mampu hidup tanpa teman..

Rabu, 28 April 2010

Buat Baik Dibalas Baik

Walaupun biasa mendengarnya, namun tidak pernah fokus atau mahu memikirkannya secara mendalam. Mungkin saya beranggapan itulah hukum karma dan memang sepatutnya berbuat kebaikan perlu menjadi amalan hidup. Namun dalam kehidupan, berbuat kebaikan atau berbuat kejahatan adalah pilihan kerana manusia diberikan akal dan nafsu. Bagi manusia yang berbuat baik akan mendapat ganjaran pahala dan jika berbuat sebaliknya akan mendapat dosa. Dalam perjalanan akhirnya, manusia yang banyak pahala akan dimasukkan ke dalam syurga manakala yang penuh dengan dosa akan disumbatkan ke dalam neraka. Maha Kuasa Allah yang mengaturkannya. Dalam sebuah buku motivasi tentang bagaimana mencapai kejayaan dalam hidup, dijelaskan bahawa berbuat kebajikan bukan hanya akan mendapat balasan kebaikan yang setimpal malah kebaikan yang diterima akan berganda-ganda. Begitu juga jika kita berbuat kejahatan maka kajahatan jugalah yang akan kita peroleh. Ini bermakna setiap perkara yang kita lakukan sama ada kebaikan atau kejahatan, selain mendapat pahala atau dosa juga turut memberikan kesan segera sama ada kita sedari atau tidak. Perkara yang baik akan dibalas baik manakala perkara yang jahat akan dibalas jahat. Sebagai contoh, apabila kita marah maka kita akan memancarkan aura merah yang mengandungi energi negatif dan seterusnya akan menarik energi yang sama. Apabila lebih banyak energi negatif yang menguasai kita, kita tidak mampu membentuk hubungan baik dengan orang-orang di sekeliling kita? Akhirnya kita akan gagal dalam kebanyakan perkara yang kita lakukan. Lebih baik kita menjadi seorang pemaaf dan mula menarik energi positif ke dalam diri kita. Tambahan pula memaafkan merupakan sifat terpuji. Apabila yang kita memafkan seseorang, kita akan menarik energi positif dan akan membentuk kepercayaan-kepercayaan positif dalam minda seterusnya akan memperlihatkan siapakah diri kita? Ini kerana apa yang kita lakukan sebenarnya bermula daripada apa yang ada dalam fikiran dan kepercayaan-kepercayaan yang ada dalam pemikiran kita. Oleh sebab itu, jika kita mempunyai kepercayaan positif dalam minda kita akan melakukan perkara-perkara positif dan seterusnya akan menarik energi positif. Itulah kitarannya, umpama air sungai ia akan terus mengalir. Dalam kehidupan, kita akan mendapat balasan langsung terhadap apa yang kita lakukan. Law of attarction and Law of giving.
Mei Lob – berazam untuk sentiasa positifkan minda dan berbuat kebaikan..insyaAllah..

Selasa, 27 April 2010

Bila Waktu Tlah Berakhir

Artist: Opick
Song Category: Nasyid
Bagaimana kau merasa bangga
Akan dunia yang sementara
Bagaimanakah bila semua hilang dan pergi
Meninggalkan dirimu

Bagaimanakah bila saatnya
Waktu terhenti tak kau sadari
Masikah ada jalan bagimu untuk kembali
Mengulangkan masa lalu

Dunia dipenuhi dengan hiasan
Semua dan segala yang ada akan
Kembali padaNya

Bila waktu tlah memanggil
Teman sejati hanyalah amal
Bila waktu telah terhenti
Teman sejati tingallah sepi

Isnin, 26 April 2010

Blog Lesu dan Kaku

Sudah hampir dua minggu lebih saya tidak menulis dalam blog. Ini bermakna tidak ada sebarang tambahan artikel. Oleh sebab itu, sepanjang dua minggu blog jadi lesu dan kaku. Namun, saya akan pastikan agar blog ini tidak terus kaku. Sebenarnya bukan tidak ada idea hendak menulis tetapi memikirkan hambatan masa sejak belakangan ini menyebabkan idea yang ada dalam fikiran tetap tinggal dalam fikiran. Mungkin dalam konteks penulisan, idea itu mengalami proses pengeraman. Namun jika saya tidak berusaha menggerakkan jari-jemari ini untuk menulis, sudah tentu idea akan kekal dieram tanpa penetasan atau lebih buruk lagi akan hilang ditelan masa. Apabila difikirkan, saya berasa banyak perkara yang menyebabkan saya menjadi terlalu sibuk. Tetapi betulkan saya benar-benar sibuk? Apakah 24 jam, atau 1440 minit, atau 86400 saat yang ada dalam sehari itu tidak mencukupi untuk saya menulis dan menangani kesibukan itu? Sepanjang dua minggu ini, saya terpaksa pulang ke kampung pada setiap hujung minggu kerana meraikan dan membatu keluarga abang yang mengadakan majlis kenduri di rumahnya dan diikuti oleh majlis kenduri di rumah ibu pula pada minggu berikutnya. Sepanjang minggu itu juga, terdapat dua kursus KPKI yang terpaksa saya hadapi. Pada masa yang sama juga berlangsung pula audit dalaman di peringkat IPG. Aduh, memang terasa banyak juga kerja yang terpaksa dibuat. Walau pun saya dapat menyenaraikan banyak perkara yang menjadi hambatan masa sepanjang minggu itu, namun saya perlu memikirkan semula bahawa semua itu hanyalah persepsi dan keyakinan negatif yang ada dalam pemikiran saya menyebabkan saya tidak dapat menghasilkan sebarang artikel dalam blog saya! Betullah, sebagaimana tulisan Sdr. Amar Mahmod, iaitu selagi pemikiran negatif masih ada dalam minda, selagi itulah kita akan terus mendapat hasil yang negatif dalam realiti kehidupan. Selepas ini saya tidak perlu lagi mencari-cari alasan mengapa saya tidak dapat menyiapkan sesuatu tugasan. Saya sepatutnya perlu memikirkan bagaimana pemikiran yang penuh dengan pelbagai alasan dan kepercayaan-kepercayaan negatif ini dapat saya ubah dan saya isi dengan kepercayaan-kepercayaan baru yang positif agar saya dapat merealisasikan impian saya. Saya perlu menulis dan terus menulis!
Mei Lob – seronok kerana menulis membuatkan minda semakin tajam...

Selasa, 13 April 2010

KPKI ke-3

Seremban – Pada 13 hingga 15 April 2010 bertempat di SK Temenggung Abdul Rahman, Segamat, Johor, berlangsung satu lagi Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) yang dikelolakan oleh IPG Kampus Raja Melewar, Seremban. KPKI kali ketiga ini bertajuk “Kursus Kreativiti dan Didik Hibur dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu” telah dikendalikan oleh fasilitator yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, iaitu Dr. Khairuddin Mohamad, En. Azmi bin Ayub, En. Abd. Rahim bin Ismail dan Pn. Faiziah Shamsuddin. Dalam kursus tersebut seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru daerah Segamat telah didedahkan dengan pelbagai elemen didik hibur dalam pembelajaran bahasa antara lain termasuklah santai, kelakar dan lucu, seronok dan gembira, semangat mencuba, tidak takutkan guru dan mengurangkan stress. Menurut Dr. Kahiruddin, didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran bukannya merupakan suatu perkara dalam baharu malah pendekatan ini telah lama digunakan oleh guru sejak dahulu tetapi dalam perkembangan dunia pendidikan mutakhir di negara ini, pendekataan tersebut telah dijenamakan semula dalam sukatan pelajaran baharu agar dapat memberikan impak yang lebih berkesan terhadap pengajaran guru. Oleh hal yang demikian, usaha menggalakkan semula penggunaan pendekatan ini dalam kelas giat dijalankan supaya guru-guru lebih bersedia menggunakan dan mengembangkan pendekatan tersebut dalam kalangan rakan sejawat. Penggunaan elemen didik hibur dalam kelas akan menjadikan pelajar lebih ceria, seronok dan jika dirancang dan digunakan dengan baik akan menjadikan pembelajaran bahasa lebih berkesan. Sepanjang 3 hari berkursus, peserta didedahkan dengan penggunaan teknik nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi dan peserta juga telah menghasilkan rancangan pengajaran dan pembelajaran yang mengunakan didik hibur. Keseluruhuan peserta yang menghadiri kursus ini menyatakan bahawa kursus ini sangat bermanfaat dan mereka dapat menggilap semula pengetahuan dan pengalaman sepanjang menghadiri kursus ini. Kebanyakan peserta sangat berpuas hati dengan penyampaian kursus ini menyatakan bahawa keyakinan dan semangat mereka untuk menggunakan didik hibur dalam pengajaran dan pebelajaran bahasa semakin meningkat.
Mie Lob - bidan terjun utk KPKI kali ini yang semakin tertarik dengan didik hibur...

Rabu, 7 April 2010

PTK minggu depan..

Hari ini bilik JPM kembali terasa sunyi kerana rakan lelaki yang sememangnya hanya ada beberapa kerat sedang menjalankan urusan rasmi masing-masing di luar institut. Akhirnya menjelang tengah hari, hanya saya dengan Dr. Maria yang masih setia mengadap komputer kerana kami kerana sedang 'tekun' menyiapkan tugasan PTK sebelum tiba hari peperiksaannya yang tinggal tidak berapa hari lagi. Ahh.. bagi saya menyiapkan tugasan menulis esei sepanjang lebih kurang 15 muka surat ini terasa sangat berat. Maklumlah, sudah lama tidak menghasilkan penulisan yang bersifat ilmiah. Walaupun saya sudah memulakannya beberapa hari lalu, sehingga kini saya hanya dapat menyiapkan beberapa muka surat sahaja. Nampaknya bukan saya sahaja, malah rakan-rakan sejawat yang lain pun sibuk menyiapkan esei masing-masing. Sekali sekala terdengar juga keluhan kecil yang keluar dari mulut masing-masing, namun saya percaya rakan-rakan saya semuanya hebat.. Sayalah yang kadang-kadang terasa kerdilnya diri ini. Oleh sebab tugasan ini wajib, mahu tak mahu saya akan tetap meneruskan dan saya akan pastikan semua yang diperlukan akan dapat disiapkan menjelang tarikh peperiksaan itu nanti..Saya boleh!
Mie Lob - 'mengoca' jadi terapi murah mengurangkan stress.. tulis blog juga dapat kurangkan stress.hehe.

Sabtu, 3 April 2010

Hebatnya Ciptaan Tuhan







Baru-baru ini saya berpeluang memerhatikan kawanan helang yang terbang tinggi melintasi kawasan rumah saya. Kagum saya melihat makhluk kecil yang terpaksa berhijrah saban tahun dengan terbang merentasi benua yang beribu-ribu batu jaraknya untuk memastikan kelangsungan hidupnya. Begitulah hebatnya ciptaan Allah. Walaupun perjalanannya jauh, namun Allah telah menyediakan makhluk ini dengan cukup lengkap bagi memastikan perjalanan jauh yang hampir mustahil itu menjadi rutin tahunan burung-burung tersebut. Hebat!..
Mie Lob - ingin menjadikan alam terbentang sebagai guru..

Khamis, 1 April 2010

Tentang "tentang"...

Telah lama saya berpegang kapada fakta yang kurang tepat tentang sendi nama (SN) “tentang” dan “mengenai”. Mungkin kesilapan ini berpunca daripada diri saya sendiri kerana tidak membuat rujukan terlebih dahulu sebelum menerima apa-apa pandangan atau pendapat yang berkaitan isu-isu tatabahasa. Saya sudah terlupa, sejak bila saya berpegangan bahawa hanya kata “tentang” sahaja yang digunakan sebagai kata SN yang membawa maksud rujukan dan kata “mengenai” pula hadir dalam ayat sebagai kata kerja. Kedua-dua perkataan tersebut dibezakan penggunaannya. Mungkin semasa bertugas sebagai guru dahulu, inilah salah satu cara mudah untuk saya menerangkan kepada pelajar-pelajar supaya mereka dapat mengingati SN tersebut dan sebagai panduan untuk mereka menghadapi peperiksaan. Baru-baru ini, apabila saya menyelak semula buku Siri Pedoman Bahasa Melayu keluaran DBP, saya terbaca penjelasan tentang kedua-dua perkataan tersebut, iaitu kata “tentang” dan “mengenai” ialah SN yang biasanya digunakan sebagai unsur-unsur yang membawa maksud ‘rujukan’ dan kedua-duanya boleh saling bergantian dalam ayat. Selain itu kata “mengenai” juga boleh hadir dalam ayat sebagai kata kerja.

Mie Lob – rupa-rupanya kita hanya manusia lemah yang sentiasa lalai dan alpa...