Azmi b. Ayub




Jumaat, 26 Februari 2010

Jadual Bertugas

Ketika menjadi guru di sekolah dahulu, saya sering juga ditugaskan menjadi guru kelas. Memang menjadi sebahagian daripada tugas guru kelas untuk menyediakan jadual bertugas pelajar selama seminggu untuk memastikan kelas dalam keadaan bersih dan teratur. Biasanya, Jadual Bertugaslah yang menjadi tajuk bagi jadual yang dimaksudkan. Itulah yang menjadi amalan guru sejak dahulu dan rangkai kata tersebut sudah diterima umum bagi merujuk jadual tersebut. Tetapi kini, rangkai kata tersebut dianggap salah dari segi tatabahasanya. Hal ini kerana rangkai kata tersebut yang dari segi semantiknya boleh juga membawa makna jadual yang bertugas bukannnya tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh pelajar . Ini mungkin kerana kata bertugas tergolong dalam kata kerja dan dalam ayat dasar yang berpola Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK) rangkai kata tersebut telah dapat dianggap sebagai satu ayat yang lengkap. Ungkapan jadual bertugas bermakna jadual yang melakukan tugas. Oleh itu, dari segi tatabahasa rangkai kata yang paling tepat untuk merujuk makna sebenar jadual tersebut ialah Jadual Tugasan. Dalam rangkai kata itu, kedua-dua kata ialah kata nama dan rangkai kata tersebut tergolong dalam kata majmuk. Hal inilah yang sering menjadi persoalan antara ahli tatabahasa beraliran perspektif atau beraliran deskriptif dalam menentukan tatabahasa pegangan. Tatabahasa mengikut bahasa atau bahasa mengikut tatabahasa?
Mie Lob – setuju dengan kedua-dua aliran asalkan bahasa terus perkasa…

Selasa, 23 Februari 2010

Kata dan Kata

Seringkali saya sukar untuk menjelaskan maksud kata akar, kata dasar dan kata tunggal secara spontan kerana sekali imbas istilah tersebut seakan-akan mendukung makna yang sama. Namun begitu, sebenarnya setiap kata tersebut mempunyai makna yang berbeza dalam bidang morfologi bahasa Melayu. Kata akar ialah kata asal yang tidak menerima imbuhan. Sebagai contoh pakai, angkat, oleh dan dapat ialah kata akar daripada kata pakaian, berangkat, peroleh dan pendapat. Perkataan yang terhasil daripada gabungan kata akar dan imbuhan ini disebut kata terbitan. Kata terbitan ini juga boleh berfungsi sebagai kata dasar dalam perkataan berpakaian, keberangkatan, perolehan dan berpendapat. Berdasarkan contoh di atas, jelaslah bahawa kata akar ialah kata yang menjadi akar atau inti sesuatu perkataan yang terdiri daripada dua morfem atau lebih. Manakala kata dasar pula ialah kata yang boleh dikenakan imbuhan juga untuk membentuk kata terbitan. Oleh itu kata dasar boleh terdiri daripada kata akar, kata akar dengan imbuhan, kata akar berulang dan kata majmuk. Manakala kata tunggal ialah kata yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan atau perangkaian. Oleh itu dalam bahasa Melayu, selain kata tunggal, bentuk kata yang lain ialah kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk.
Mie Lob - kadang-kala pening juga dengan kata-kata ni..

Ahad, 21 Februari 2010

Oh, Sendi Nama!

Tatabahasa menyatakan bahawa SN ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Namun begitu kehadirannya di hadapan frasa nama membawa fungsi atau tugas yang berlainan ditentukan oleh peraturan yang khusus. Selain itu, terdapat juga SN yang menganggotai golongan kata yang lain, contohnya akan (juga berfungsi sebagai kata bantu), dalam (juga berfungsi sebagai kata arah dan kata adjektif), sampai (juga berfungsi sebagai kata kerja) dan antara (juga berfungsi sebagai kata arah). Walaupun dalam kajian yang pernah dilakukan terhadap penggunaan SN berlaku ketidakselarasan penggunaan setiap SN, namun jelas ada kecenderungan untuk lebih kerap menggunakan sesuatu bentuk SN berbanding yang lain. Misalnya, pengguna lebih kerap menggunakan pada daripada di untuk menyatakan waktu. Ini jelas menunjukkan pengguna mempunyai pegangan tentang penggunaan sesuatu SN. Ahli bahasa juga tidak seratus peratus sependapat tentang senarai perkataan yang digolongkan sebagai SN. Hal ini dapat kita perhatikan apabila diteliti senarai SN dalam buku tatabahasa seperti Tatabahasa Dewan (18) , Pelita Bahasa Melayu Penggal 1(28) dan Nahu Melayu Moden (44). Walaupun terdapat percanggahan, namun sekurang terdapat beberapa contoh kata SN yang ada persamaan fikiran antara ketiga-tiganya.
Mie Lob - masih kerap melakukan kesilapan tatabahasa, bukan kesalahan tatabahasa...

Sabtu, 20 Februari 2010

Kepimpinan PIBG

Setiap tahun PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) setiap sekolah akan menjalankan mesyuarat agungnya. Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti perjalanan mesyuarat agung yang diadakan di salah sebuah sekolah anak saya. Kehadiran ibu bapa pada hari itu agak ramai. Antara agenda utamanya ialah pemilihan AJK baru. Nampaknya, agenda penting ini hanya berlangsung dalam masa yang singkat, sama sebagaimana yang pernah saya lihat di beberapa buah sekolah sebelum ini, seolah-olah PIBG dan kepimpinannya dilihat sebagai suatu perkara remeh. Lantiklah orang lama kerana mereka telah melaksanakan tugas sebelum ini. AJK lama patut di kekalkan kerana prestasi yang baik. Mungkin komen itu bukan lahir dari sudut hati yang ikhlas tetapi dibuat untuk mengelak daripada dilantik. Mungkinkah kerja-kerja sukarela tidak lagi menjadi budaya, komitmen lain yang terlalu mengikat atau memang kita ketandusan kepemimpinan dalam masyarakat? Apabila pemilihan ini dibuat bagai melepas batuk di tangga, sebenarnya kitalah yang rugi. Sepatutnya peranan PIBG perlu dilihat dari prespektif yang lebih luas bermula dengan pemilihan pemimpinnya. Apapun, memang diakui untuk melaksanakan tugas kepemimpinan tersebut, komitmen jitu amat diperlukan. Nampaknya kehadiran ramai ibu bapa pada hari itu hanya untuk mengangkat tangan memberi undi kerana mereka masih berpandangan, kekalkan ajk lama!
Mie Lob – ahli kelab penyokong PIBG

Khamis, 18 Februari 2010

Perjalanan Malam

Setiap orang mempunyai pendapat sendiri apabila hendak memandu bagi perjalanan jarak jauh. Ada yang suka memandu pada waktu siang manakala sesetengahnya pula suka memandu pada waktu malam. Biasanya, dalam perjalanan jarak jauh, secara tidak disedari kita sememangnya akan berlumba dengan masa. Walaupun pada awalnya kita telah menetapkan minda untuk tidak terlalu mengejar masa, namun setelah ‘lama’ berada di jalan raya, minda kita akan mudah tersasar kerana setiap orang sudah pasti ingin cepat sampai ke destinasi. Saya sendiri lebih suka memandu pada waktu malam. Memandu pada waktu siang, ketika banyak kenderaan lain di jalan raya menyebabkan saya perlu kerap memotong dan ini boleh menyebabkan saya agak stress berbanding jika memandu pada waktu malam. Cuaca persekitaran yang dingin pada waktu malam juga membuatkan minda agak tenang. Tetapi, yang menjadi masalah ialah rasa mengantuk dan jarak penglihatan agak terhad. Sebenarnya banyak faktor perlu diambil kira sebelum kita membuat keputusan sama ada untuk memandu sebelah siang atau malam. Tidak kiralah siang atau malam, apa yang penting ialah kita perlu melihat kemampuan diri. Siapkan fizikal dan mental sebelum melakukan perjalanan jauh.
Mie Lob - kerap melakukan perjalanan malam apabila kesuntukan waktu siang…

Rabu, 17 Februari 2010

Wah,...baung!

Setelah menunggu dengan sabar, akhirnya mata pancing Amir diragut ikan lebih kurang jam 11.00 malam. Lenturan yang dilihat pada joran kecilnya memberi tanda bahawa ikan yang memakan umpan anak keli itu boleh tahan juga. Setelah disentap, tali pancing cuba digulung ke dalam kekili. Namun, tali pancing tidak dapat ditarik kerana tersangkut pada sesuatu. Biasanya kalau tersangkut, tali terpaksa diputuskan kerana di dasar Tasik Kenyir memang terdapat banyak tunggul kayu. Dengan rasa hampa, pancing tadi dibiarkan dahulu. Sebaik diberikan sedikit tali, terasa joran ditarik lagi. Sah, ada ikan pada mata pancing. Walaupun cuba ditarik kemudiannya, tetapi tali masih tersangkut. Akhirnya, keputusan nekad diambil untuk menarik tali pancing walaupun berisiko putus…Wah, seekor baung TK! Heheh.. Hebat!
Mie Lob – ada skim perangsang untuk kembali ke TK bagi menjinakkan toman dan kelah..

Seronoknya di TK dan KT

Percutian keluarga ke Tasik Kenyir dan Kuala Terengganu kali ini sungguh menarik. Pertama, kerana inilah kali pertama kami menjejakkan kaki ke TK dan yang kedua kerana percutian yang disertai 4 keluarga ini meriah dengan gelagat anak-anak yang jarang-jarang dapat berkumpul bersama. Sebab itu, sebelum bertolak ke KT lagi, saban waktu anak-anak asyik bertanya itu dan ini. Sepanjang 3h 3m dapat berkumpul, pelbagai gelagat anak-anak dapat disaksikan dan yang paling menyeronokkan ialah aktiviti memancing kerana dalam kumpulan keluarga ini, anak-anak lelakilah yang lebih dominan dari segi umur dan bilangan! Oleh sebab itu, bapa-bapa terpaksa menyewa joran kerana joran yang dibawa tidak mencukupi (atau memang bapanya yang ‘lebih’!) Sebaik mendaftar masuk di TK, anak-anak sudah sibuk mengajak bapa-bapa turun sehingga emak-emak yang mendengar pun berhasrat untuk turun sama! Tidak kira waktu, masa yang terluang digunakan untuk melabuhkan pancing. Malangnya, masa dan tenaga yang dicurahkan dan puluhan ringgit yang dibelanjakan, nampaknya tidak berbaloi. Apa pun, kerana berpegang pada prinsip kegagalan merupakan guru terbaik, kaki-kaki pancing ini tetap tidak beputus asa.. masing-masing menyimpan hasrat untuk menewaskan kelah atau paling tidak toman TK suatu masa nanti!
Mie Lob – teruja apabila mendengar cerita Amir tentang pancingnya sekali lagi diragut ikan besar berhampiran jeti Air Terjun Saok….

Khamis, 11 Februari 2010

Selamat Bercuti Sempena TBC

Minggu depan IPG akan ditutup selama seminggu. Nampaknya akan bercuti sakanlah guru-guru pelatih di kampung masing-masing. Dalam pada bercuti, diharap pelajar yang telah mula menerima beberapa tugasan daripada pensyarah akan mula menggerakkan usaha yang lebih bersungguh-sungguh untuk menyiapkan tugasan kerana tarikh untuk menghantar tugasan semakin hampir dan bilangan tugasan banyak. Inilah peluang untuk pelajar menumpukan usaha secara lebih berfokus terhadap tugasan tanpa diganggu oleh urusan kuliah. Apa yang penting, pelatih telah membuat perancangan awal supaya cuti seminggu tersebut tidak menjadi sia-sia. Mereka perlu menyediakan terlebih dahulu bahan-bahan tugasan supaya dapat dibuat semasa cuti. Jika tidak, usaha menyiapkan tugasan akan tersekat kerana bahan yang tidak mencukupi!

Mei Lob – Selamat bercuti, jaga diri, dan jumpa semula selepas cuti TBC…

Rabu, 10 Februari 2010

Sirkit Mendaki Gunung N. Sembilan

Peluang kepada semua pelajar IPG Kampus Raja Melewar khususnya kepada pelajar PPISMP (BM/KS) Sem 2! Satu sirkit mendaki gunung-gunung di Negeri Sembilan akan diadakan selepas TBC nanti bermula dengan pendakian Gunung Tampin pada 6 Mac diikuti Gunung Datuk pada bulan April, dan Gunung Angsi pada bulan Mei. Diharap semua tute akan bersemangat untuk menyertainya kerana dengan penyertaan itu anda akan bukan sahaja dapat menguji tahap kemampuan tetapi anda juga akan dapat menghayati betapa indahnya negeri tanah beradat ini. Dapatkan maklumat tentang program tersebut daripada KU atau hubungi terus En. Jalil dari Unit PJK.
Mei Lob (tutor) – sangat menggalakkan tute ikut serta.. teringat manifesto seorang calon AJK MPP : anak Johor tetapi berjuang untuk negeri Sembilan!

kenyir


Tidak lama lagi, IPG akan tutup selama seminggu dan sekolah juga akan bercuti sempena TBC. Nampaknya, anak-anaklah yang paling teruja bukan hanya kerana cuti tetapi kerana ayah dan mamanya dah janji nak bercuti ke Kenyir bersama sepupu-sepupu yang lain. Yang paling teruja ialah “Adik” dan “Mira”! Dia akan pancing ikan dan masak ikan yang akan di tangkap bersama Najah nanti.. hehe.. aku hanya mampu tersenyum dan ketawa dalam hati!
MeiLob – gelihati tengok adik praktis memancing dengan pancing mainan. ..bukannya pancing tapi cungkil ikan!Hahaha...

Jumaat, 5 Februari 2010

Abang Misai dalam Kenangan.

Jumaat 7.50 pagi, aku mendengar berita yang mengejutkan. Abang Misai (kawan sama tempat bertugas di SK Pasir Panjang dulu) meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Seremban – Port Dickson. Inalillah… Baru aku teringat, masa aku lalu di situ jam 6.50 pagi dalam perjalanan ke tempat kerja, aku terlihat banyak kereta berhenti di tepi lebuhraya tempat kejadian tersebut berlaku. Setelah mendapat panggilan telefon, rupa-rupanya yang terlibat dalam kemalangan tadi itu adalah kawan aku! Setelah menghabiskan kuliah untuk hari itu, aku bergegas ke Pasir Panjang untuk berziarah buat kali terakhir walaupun hanya sempat melihat jenazah yang sudah dimasukkan ke liang lahat. Semoga rohnya dicucuri rahmat, diberikan keampunan, dan Allah s.w.t. tempatkan bersama-sama para solihin dan syuhada’. Amin.

Jom Makan PPISMP (BM/KS) Sem 2/2010




Atas usaha KU dan semua ahli Unit PPISMP (BM/KS) Ambilan Julai 2009, seramai 21 orang tutee telah dapat dikumpulkan di KFC Seremban untuk bersama-sama dengan tutor dan keluarga untuk bersama-sama menikmati hidangan ayam goreng. Puh, sambil menikmati jamuan, para tutee dan tutor dapat beramah mesra. Kejelekitan yang ditunjukkan oleh tutee amat membanggakan tutor. Di harap kerjasama tersebut akan berterusan sepanjang mereka menjalani kursus di IPG Kampus Raja Melewar. Tahniah buat KU, PKU dan semua pelajar Unit PPISMP (BM/KS) Sem 2!
Mie Lob (Tutor) - seronok tengok kejeleketan dalam kalangan tutee... teruskan.

Rabu, 3 Februari 2010

Tokeh

Pada kesempatan waktu rehat tengah hari tadi, aku bergegas ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban kerana semalam, Ongah menelefon memaklumkan aku bahawa Tokeh (panggilan mesra untuk seorang lagi kawan sekampung aku) dimasukkan ke hospital. Oleh sebab sudah lewat dan ada urusan lain semalam, maka baru hari inilah aku berkesempatan melawatnya. Biasalah, di hospital memang susah hendak mencari tempat parkir. Setelah membuat satu pusingan, aku dapat juga satu petak kosong walaupun agak jauh. Sebaik masuk ke Wad 7A, kudengar suara yang menyebut namaku walaupun tidak begitu jelas. Tokeh, pada raut wajahmu terlihat derita akibat penyakit yang ditanggung, namun betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul! Sedih, melihat seorang rakan yang dahulu sama-sama melakukan pelbagai aktiviti di kampung kini dalam keadaan uzur kerana penyakit buah pinggang yang dialaminya. Aku sangat berharap kehadiranku dapat menggembirakannya walaupun sekejap. Aku cuba membantu setakat termampu. Mohd Jalil, aku berdoa agar saudara cepat sembuh.

Masa oh Masa

Semua orang dianugerahkan masa 24 jam sehari. Semuanya sama, tidak ada yang terkurang atau yang terlebih walau sedetik pun. Tetapi kerap kali apabila diajukan soalan mengapa masih belum buat lagi?, kita sering mendengar keluhan yang mengatakan, saya tak ada masa, saya sibuk, banyak kerja, dan seribu satu macam alasan lagi. Semuanya menyalahkan masa yang seolah-olah 24 jam itu terlalu sedikit walaupun sebenarnya 24 jam itu mengandungi 86,400 saat! Jika manusia menghargai setiap saat, banyak perkara yang boleh mereka lakukan dalam sehari. Namun begitu, ketika mereka memberi alasan saya tak ada masa, ada pula yang apabila ditanya apa yang sedang kamu buat?, mereka menjawab, saja.. nak menghabiskan masa! Nampaknya manusia ini memang amat berbeza kerana sebahagiannya telah dapat melakukan banyak perkara manakala sebahagian yang lain pula tidak melakukan apa-apa. Kepada semua guru pelatih, mulalah menggerakkan usaha untuk menyiapkan tugasan supaya apabila sampai masanya semuanya dapat dihantar tepat pada masanya. Jadilah seorang guru pelatih cemerlang bermula dengan pengurusan masa yang cemerlang!